Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Tiada seorang pun kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar didapati positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, selepas enam pelajar warga Thailand yang melalui pintu sempadan negara itu dijangkiti virus berkenaan.

Menurutnya, kesemua 34 petugas terbabit bagaimanapun diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari selain ICQS itu ditutup mulai semalam.

“Melalui kerjasama Malaysia dengan Thailand, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi transit untuk pelajar negara itu yang ingin pulang tetapi mereka tidak dibenar melakukan persinggahan di mana-mana.

“Bagaimanapun, apabila sampai di sempadan Perlis, pasport mereka perlu dicap dan ketika itu, berlaku pendedahan dengan pegawai imigresen.

“Apabila tiba di Thailand, mereka didapati positif dan (perkara itu) dimaklumkan kepada kita,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, media laporkan Kompleks Imigresen ICQS Padang Besar ditutup berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk kembali ke negara asal disahkan positif Covid-19.

Penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sehubungan itu juga seramai 34 petugas di ICQS berkenaan membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia diarah menjalani kuarantin 14 hari atas faktor keselamatan. – MalaysiaGazette