Arkib. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (kanan) pada Majlis Pelancaran Sesi Pembentangan Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 29 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.7 juta penduduk di negara ini mempunyai tiga penyakit utama (tiga serangkai) iaitu diabetes, darah tinggi dan kolesterol.

Itu dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019).

Kajian kajian empat tahun sekali itu juga mendapati 3.4 juta penduduk di negara ini juga mempunyai sekurang-kurangnya dua faktor risiko utama.

Data itu menunjukkan sebanyak 4.1 peratus daripada penduduk negara ini menghidapi diabetes, 9.3 peratus darah tinggi dan 16.6 peratus kolesterol yang tinggi.

Didapati juga tiga daripada 10 orang penduduk Malaysia meliputi 6.4 juta menghidapi tekanan darah tinggi.

Empat daripada 10 orang meliputi lapan juta orang dewasa di negara ini dikategorikan mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Wanita pula mempunyai tahap kolesterol yang lebih tinggi berbanding lelaki dan seorang daripada empat pesakit tidak mengetahui mereka mempunyainya.

Dalam pada itu, seorang daripada empat orang dewasa didapati tidak aktif fizikal yang merupakan penyumbang utama kepada faktor kematian keempat dunia.

Didapati juga tiga daripada empat wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani ujian mamogram.

Kelantan dan Pahang dikategorikan sebagai dua negeri terendah mempunyai kadar pengambilan saringan mamogram di negara ini.

Direkodkan sebanyak 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental dengan 9.5 peratus daripadanya adalah berumur 10 hingga 15 tahun.

Masalah berinteraksi dengan rakan sebaya didapati faktor utama kepada masalah kesihatan mental kanak-kanak dengan 42.9 peratus.

NHMS 2019 turut mendapati tiga daripada 10 lelaki di negara ini mengakui sangat sukar untuk mencapai ketegangan zakar yang mencukupi dengan 64.1 peratus dalam kategori berusia 60 tahun keatas.

Lelaki berusia 30 hingga 59 tahun pula di tangga kedua dengan 25.2 peratus dan 36.9 peratus bagi kategori 18 tahun hingga 28 tahun. – MalaysiaGazette