Penduduk, Norbaizura Mat Besri (kiri) bersama ibunya Saadiah Baharum (kanan) yang menerima bantuan keperluan asas makanan dan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tinggal di rumah setinggan sejak lahir sama sekali membuat diri wanita ini berasa malu dan jauh sekali untuk merendah diri.

Malah kata Norbaizura Mat Besri, beliau tidak dapat menggambarkan keseronokan tinggal di kawasan yang terletak di tengah bandar di Kampung Muhibah di sini.

Wanita berusia 34 tahun itu, beliau tidak segan memberitahu rakan di pejabat walaupun dia memegang jawatan pegawai di sebuah kementerian.

“Rakan-rakan di pejabat semua tahu saya tinggal di rumah setinggan. Saya tidak malu pun sebaliknya saya yang memberitahu mereka secara jujur.

“Sejak lahir di sinilah saya tinggal. Daripada ramai keluarga hinggalah tinggal 12 keluarga sahaja. Apa yang seronok suasana di sini seperti tinggal di kampung,” katanya.

Beliau dan ibunya, Saadiah Baharum, 63, ditemui pada program Jelajah Ramadan MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (kiri) menyampaikan bantuan keperluan asas makanan dan sumbangan kepada Penduduk, Saadiah Baharum (kanan) bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

Norbaizura yang merupakan akauntan memberitahu, beliau ada menerima tawaran untuk tinggal di kuarters kerajaan di Putrajaya.

Namun dia terpaksa menolaknya kerana tidak biasa dengan suasana yang sunyi di kuarters.

“Di sini walaupun hanya kawasan setinggan, suasananya meriah. Malah bunyi bising pelbagai projek di kawasan sekitar menjadi keseronokan tinggal di sini,” katanya jujur sambil tersenyum.

Sementara itu, sempena program Jelajah Ramadan MalaysiaGazette, Norbaizura menerima sumbangan barangan dapur antaranya daging ayam, cili kering, santan, bawang, beras nasi himpit, kordial, minyak masak dan juga wang raya.

Turut diterimanya adalah telekung wakaf sumbangan D’or Rue Sdn. Bhd. menerusi Projek Telekung Wakaf Siti Aishah.

Sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Abd Razak melibatkan 13 keluarga. – MalaysiaGazette

Penduduk, Norbaizura Mat Besri (kiri) bersama ibunya Saadiah Baharum (kanan) yang menerima bantuan keperluan asas makanan dan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Program Ziarah Ramadan Malaysia Gazette di Kampung Muhibbah, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020.