Temubual Malaysia Gazette bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan kononnya kerajaan pimpinannya ketika itu lambat bertindak menyelesaikan krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas Sulu tujuh tahun lalu.

Peristiwa berdarah itu menyaksikan 12 orang perwira negara gugur dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut bekas Perdana Menteri, apa yang berlaku ketika itu adalah, beliau mengarahkan pihak keselamatan keselamatan agar meneliti setiap tindakan yang diambil supaya tiada orang awam yang terkorban sekiranya serangan dibuat ke atas tentera penceroboh.

“Masa bila nak serang itu soal taktikal sebab kalau kita nak serang, kita kena kepung (tentera penceroboh) itu terlebih dahulu, kita kena tentukan tiada orang awam yang terkorban, ini sangat mustahak.

“Kalau mereka ada tebusan (macam hari itu), ada kemungkinan orang awam jadi mangsa, kalau ada (kena fikir) macam mana kita nak selamatkan.

“Jadi banyak perkara harus kita ambil kira, yang penting mereka (penceroboh) tidak dapat melarikan diri,” tegasnya dalam temubual eksklusif program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette di sini baru-baru ini.

Pada 11 Februari 2013, angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III, bersama 101 pengikutnya menceroboh masuk Sabah – dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Susulan itu, Ops Daulat dilancarkan dan seterusnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah ditubuhkan. Seramai lebih kurang 8,000 anggota keselamatan dikerahkan di bawah misi operasi tersebut.

Operasi yang dilakukan juga menahan seramai hampir 600 orang termasuk 31 orang yang telah dibicarakan.

Kejadian yang berlaku telah mengorbankan seramai 72 orang di mana 56 daripadanya adalah tentera penceroboh Sulu sendiri.

Mengimbau lanjut peristiwa tersebut, Najib memberitahu, beliau dimaklumkan oleh polis mengenai kejadian pencerobohan itu pada malam kejadian.

Katanya, beliau ketika itu sangat terkejut bila mengetahui perkara tersebut kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh diterima ‘dek akal’.

Ujarnya, walaupun diberitahu jumlah tentera penceroboh itu agak ramai, namun tidak terjangkau dalam pemikirannya mereka sanggup hendak melawan pasukan keselamatan negara.

“Mengikut hukum akal, tak ada orang akan mencuba melakukan sebegitu sebab kesudahannya mereka akan ditembak mati atau pun mereka akan ditahan, mereka tak akan boleh menang.

“Kalau orang mencabuli kedaulatan negara kita, kita kena bertindak menggunakan seluruh kuasa kita

“Alhamdulillah akhirnya kita berjaya sama ada mereka dibunuh atau ditahan dan dihadapkan ke mahkamah, ini ni perlu kita lakukan secara tegas kerana soal kedaulatan negara tiada kompromi,” ujarnya lagi.

Golf di Hawaii

Mengenai tindakan kontroversinya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama di Hawaii pada tahun 2014, beliau mendedahkan tujuan sebenar beliau berbuat demikian adalah untuk membincangkan hal-hal yang melibatkan kepentingan Malaysia.

Menurutnya, hanya inilah sahaja cara untuk beliau mengutarakan beberapa perkara yang melibatkan hal ehwal antarabangsa dan hubungan negara dengan pemimpin kuasa besar dunia itu memandangkan mereka berdua tidak boleh bermesyuarat secara rasmi kerana masing-masing sedang bercuti.

Jelas Najib, beliau memang merupakan kenalan baik Obama dan Hawaii merupakan destinasi percutian Presiden negara Uncle Sam itu.

“Orang ingat kita main golf sahaja…saya dapat habiskan empat jam dengan dia di mana kami bercerita antaranya hal-hal antarabangsa dan hubungan dengan Malaysia.

“Saya nak beritahu kalau ada sesiapa dapat habiskan masa empat jam dengan Presiden AS, tentu dia sanggup habiskan wang berjuta-juta (kerananya), saya dapat peluang untuk Malaysia, bukan untuk diri saya.

“Kalau untuk diri saya, saya akan bermain golf dengan sesiapa yang saya suka, bermain golf selama empat jam dengan Presiden AS belum pernah berlaku peluang seperti ini kepada mana-mana Perdana Menteri Malaysia, jadi peluang seperti ini saya melihat dari sudut kepentingan negara.

“Masa Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bermain golf dengan Presiden Donald Trump, rakyat mereka anggap ia satu penghormatan besar, tetapi yelah disebabkan politik, yang baik (saya buat) pun diceritakan sebaliknya,” kata Najib.

Banjir besar

Temubual Malaysia Gazette bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2020

Ketika ditanya kenapa bermain golf di Hawaii di saat rakyat Kelantan ketika itu sedang berhadapan dengan banjir besar, Najib berkata, beliau tidak menjangka negeri tersebut akan berhadapan dengan masalah tersebut sewaktu bercuti di sana.

Ujarnya, selalunya menjelang hujung tahun, memang beliau akan mengambil cuti untuk dihabiskan bersama keluarga.

“Tiada siapa dapat meramalkan banjir besar akan berlaku….bila saya dapat tahu saya balik supaya saya dapat bersama-sama rakyat di sini (Kelantan),” katanya.

Banjir besar yang melanda Kelantan pada Disember 2014 adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara.

Kerugian infrastruktur dan aset awam ketika adalah dianggarkan sebanyak RM200 juta.

Ini belum termasuk kerugian dialami orang persendirian dan perniagaan.

Untuk rekod, sewaktu tiba di Kelantan selepas memendekkan percutiannya di Hawaii, Najib terus mengumumkan peruntukan khas RM500 juta untuk membantu mangsa banjir.

Beliau juga ketika itu turut mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijadulkan pada pertengahan Januari 2015 dipercepatkan untuk meringankan beban pihak berkaitan.

Selain itu, beliau ketika itu turut meminta semua institusi kewangan termasuk agensi kerajaan seperti TEKUN menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mangsa banjir. – Malaysia Gazette