Foto hiasan

RAMAI yang tahu bahawa arak adalah minuman yang memabukkan dan boleh mengaburkan minda seseorang pada satu-satu masa. Justeru itu, Islam telah mengharamkan ke atas orang Islam untuk meminum minuman tersebut serta menyediakan hukuman sebat sebanyak 40 kali ke atas pesalah.

Walaupun arak diharamkan ke atas orang Islam tetapi hukum ini boleh disalurkan juga ke atas orang bukan Islam atas sebab-sebab keselamatan diri sendiri dan orang lain.

Haramnya arak pada asasnya untuk melindngi akal atau minda seseorang manusia yang merupakan hakikat utama kejadian manusia berbanding haiwan. Minda juga menjadi asas untuk isu criminal liablity dalam kes-kes jenayah dalam undang-undang Islam dan sivil.

Berbalik kepada minum arak ini, sejak seminggu hingga dua minggu lepas kita dimaklumkan dengan kes-kes kemalangan yang membawa pada kematian apabila pemandu mabuk telah merempuh ke atas mangsa.

Kes-kes sebegini membuat ramai di kalangan kita mula tertanya-tanya terhadap undang-undang sedia ada. Adakah sudah cukup kuat atau tidak untuk membanteras kes-kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian? Undang-undang yang berkaitan ialah Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hanya satu seksyen iaitu seksyen 41 yang berkait dengan kematian dan tidak semestinya kepada pemandu mabuk sahaja. Ada seksyen-sekyen lain seperti seksyen 44, 45, 45A juga berkait rapat dengan pemandu mabuk tetapi tidak menyebabkan kematian.

Hukuman yang sedia ada di dalam peruntukan seksyen 41 ialah denda di antara RM5000 dan RM10,000. Satu lagi hukuman ialah penjara antara dua tahun hingga sepuluh tahun.

Selain daripada kedua-dua hukuman ada lagi satu hukuman yang dikenali sebagai hukuman yang bersifat mental ialah menarik balik lesen memandu dalam tempoh yang tertentu. Hukuman yang bersifat mental ini berkait rapat dengan ego pemandu terbabit.

Dia tidak lagi boleh memandu dengan bebas dan mesti berharap kepada orang lain atau pun pada cara lain untuk ke mana-mana. Kadang-kadang mereka yang boleh memandu kenderaan dengan laju dan merbahaya ini berkait rapat dengan perasaan atau mental pemandu. Perasaan yang hebat dan rasa lebih daripada orang lain terutama jika dapat memandu laju serta depat memotong kenderaan lain.

Justeru itu, hukuman yang sebaik-baiknya ialah hukuman yang bersifat restoratif. Hukuman penjara dan denda adalah bersifat retributif. Tidak cukup dengan hukuman penjara dan denda sahaja. Perlu ada hukuman yang melibatkan perasaan ego pesalah. Menarik balik lessen memandu adalah hukuman bersifat restoratif juga. Tetapi tidak cukup. Perlu ada hukuman-hukuman lain untuk mengajar pemandu-pemandu mabuk ini dengan hukuman yang berkesan.

Contoh-contoh hukuman-hukuman lain adalah seperti melakukan program khidmat masyararkat. Pesalah-pesalah ini boleh diminta untuk membersih jalan raya, mengutip sampah, menjaga pesakit  atau mangsa kemalangan di hospital, menjaga orang tua di rumah orang tua dan lain lain lagi.

Satu lagi yang hukuman yang bersifat restoratif ini adalah untuk memohon maaf secara terbuka kepada mangsa. Berjumpa dengan mangsa atau keluarga mangsa dan membaca permohonan maaf kepada mereka. Kalau boleh, permohonan maaf ini mestilah bertulis dan disahkan oleh mahkamah.

Selain daripada hukuman yang dicadangkan di atas. di dalam undang-undang jenayah Islam ada hukuman diyat dan hukuman yang bersifat  kewangan yang diberikan kepada mangsa. Hukuman denda yang sedia ada, jumlah denda itu diberikan kepada pihak berkuasa bukannya diberikan kepada mangsa. Di dalam undang-undang Islam, hukuman kewangan boleh diberikan kepada mangsa atau keluarga mangsa. Cara sebegini adalah  lebih adil dengan melibatkan mangsa dalam proses hukuman ke atas pesalah.

Rumusannya ialah kerajaan atau agensi berkaitan mesti melakukan sesuatu untuk menangani isu pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.  Hukuman yang setimpal, sesuai dengan kesalahan dan pesalah perlu dikaji. Untuk melihat keberkesanan satu-satu undang-undang, undang-undang tersebut mestilah diuji dan dikuatkuasakan. Tidak kira sama ada undang-undang sivil atau undang-undang Islam.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan meneliti jenis hukuman yang sesuai ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Undang-undang jenayah Islam bukan hanya sebat, potong tangan dan sebagainya. Konsep sebenar undang-undang Islam ialah bersifat mendidik jiwa individu ke arah sifat fitrah. Selain daripada itu kerajaan juga patut meneliti tentang isu penjualan arak, tidak kira kepada orang Islam atau pun bukan Muslim,  dan bukan hanya untuk menjana ekonomi negara semata-mata.

— DR. RAMIZAH WAN MUHAMMAD, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia