Mason Greenwood (kiri) kini dianggap sebagai watak pemusnah seperti Robin van Persie.

LONDON – Bek kiri Manchester United, Luke Shaw melontarkan pujian kepada pemain muda kelab itu, Mason Greenwood yang dianggap sebagai watak pemusnah seperti Robin van Persie yang baharu untuk The Red Devils.

Shaw mengakui pemain Akademi United itu adalah bakat semula jadi yang sangat istimewa.

“Dia (Greenwood) mengalami musim yang luar biasa pada musim pertama dalam pasukan utama kami,” kata Shaw kepada laman web rasmi Manchester United.

Shaw tidak teragak-agak untuk melabel penyerang itu mempunyai bakat besar untuk menjadi pemusnah kepada pihak lawan.

“Dia benar-benar terlihat seperti seorang pencetak gol semula jadi. Musim ini dia tidak selalu bermain sebagai starter tetapi dia sentiasa membuat banyak gol.

“Sekiranya saya tidak salah, dia juga membuat beberapa assist. Untuk pemain semuda dia, dia telah bermain dengan cemerlang pada musim sulungnya,” katanya lagi.

Shaw turut mengulas perbandingan yang dibuat oleh peminat United antara Greenwood dan Van Persie sambil menyifatkan penyerang itu berpotensi untuk menjadi penyerang tajam seperti van Persie.

“Dia masih perlu belajar banyak hal .Tetapi jika dia terus bekerja keras dan terus mendorong dirinya untuk bermain dengan baik setiap hari, saya rasa dia akan menjadi pemain istimewa.”

“Saya juga dapat melihat dia berubah menjadi Robin van Persie yang baharu, di mana dia mempunyai gaya permainan yang sama dan saya yakin dia akan menjaringkan banyak gol untuk kami,” katanya.

Sejak awal musim ini, Greenwood mula terlibat dalam pasukan utama United selepas sentiasa mendapat minit permainan yang cukup di bawah pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain berusia 18 tahun itu telah mencatat keseluruhan 12 gol dan empat assist untuk Red Devils dalam semua pertandingan. – MalaysiaGazette