Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (tengah) menunjukkan buku perlembagaan PPBM selepas sidang media PPBM di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2020

PETALING JAYA – Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah sah mengikut perlembagaan parti itu.

Malah perkara tersebut telah pun diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Berikutan itu juga katanya, tindakan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan pengerusi itu juga sah sehingga pemilihan baharu diadakan.

“Presiden parti ambil alih kedudukan Pemangku Pengerusi Bersatu mengikut fasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti pada 24 Februari lalu selepas Dr Mahathir sendiri letak jawatan.

“Dalam tempoh berkenaan sebagai adab Melayu, kita cuba pujuk… Dr Mahathir sendiri mengaku untuk ambil balik (jawatan), cuma beliau cakap tunggu dulu dan dalam keadaan itu, urusan perjalanan parti telah diteruskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Bagaimanapun katanya, setelah terlalu banyak curiga dan salah faham, maka Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya mendapatkan surat pengesahan daripada RoS berhubung perkara itu.

Menurut kandungan surat daripada RoS itu beliau berkata, mereka mengambil maklum Mahathir telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu melalui surat bertarikh 24 Februari dan berkuat kuasa serta merta

Ia juga telah dikemukakan kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan sehubungan itu presiden parti berhak memangku jawatan itu, sehingga pemilihan diadakan mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.

“Fasal 16 iaitu tugas pegawai tertinggi BERSATU, Fasal 16.9 jika pengerusi berhenti atau dihentikan, maka Presiden berhak memangkunya sehingga diadakan pemilihan mengikut fasal 16.3, dan ia mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas mengikut Fasal 16.2”.

Beliau berkata, sehubungan itu berdasarkan dokumen dilampirkan iaitu surat peletakan jawatan, Pengerusi ROS mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir adalah sah, dan pemangkuan jawatan oleh Muhyiddin juga sah dan masih berkuat kuasa, selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Bersatu.

“Hari ini beliau (Mahathir) bukan sahaja tidak lagi menjadi Pengerusi Bersatu, tetapi juga bukan lagi ahli parti ini,” katanya.

Setiausaha Kerja PPBM, Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya membuat panggilan telefon sebelum sidang media PPBM di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2020

Sementara itu Suhaimi ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sidang media itu memaklumkan, beliau hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya selaku Setiausaha Kerja Bersatu.

Katanya, sebagai kakitangan parti yang dilantik presiden, dia hanya menjalankan tugas seperti diarahkan dan tidak memandai-mandai dalam soal keahlian lima ahli parlimen daripada parti itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.