KUALA LUMPUR – Polis mengenakan kompaun ke atas tiga suspek yang terlibat dalam kes perkahwinan di sebuah kuil di Serdang termasuk pengantin lelaki hari ini.

Selain itu, kompaun juga dikenakan terhadap pengerusi dan sami kuil berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Serdang, kata Asisten Komisioner Ismadi Borhan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan bagi kes melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sudah selesai dan telah mengambil keterangan semua pihak.

“Dokumen berkaitan juga telah dirampas termasuk resit pembayaran proses kahwin dan buku log. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor pada 27 Mei lalu dan arahan telah diterima hari ini untuk mengeluarkan kompaun ke atas tiga suspek yang terlibat,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Ismadi, bagi kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan penarik kereta di Serdang, pihaknya telah menahan lapan suspek dan Mahkamah Petaling Jaya membenarkan enam daripadanya direman empat hari manakala dua lagi direman dua hari.

“Siasatan lanjut akan diteruskan dan baki suspek kini giat dikesan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, polis juga menahan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu penyiasatan kes penemuan seorang mayat lelaki di Perhentian Bas Taman Sungai Besi Indah.

Mahkamah juga membenarkan supaya lelaki yang dituduh kes pembunuhan itu direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut kini diteruskan di bawah Sekasyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anjur majlis perkahwinan di kuil: Polis ambil keterangan 33 saksi