Konsert orkestra dalam auditorium kosong di Philharmonie de Paris

PARIS- Pemain biola Perancis, Renaud Capucon sepatutnya mengadakan persembahan di sebuah auditorium yang dihadiri sekurang-kurangnya 2,000 penonton malam Khamis lalu.

Bagaimanapun, akibat penularan pandemik Covid-19, beliau terpaksa mengadakan persembahan di auditorium berkenaan yang kosong tanpa penonton.

Namun bagi Renaud, ia bukan pengalaman yang paling teruk kerana sejak penularan wabak Covid-19, semua konsert terpaksa dibatalkan sejak Mac.

“Bagaikan mati hidup semula.

“Kami semua gembira kerana dapat bermain semula selepas sudah lama berehat dan semua konsert terpaksa dibatalkan. Ia benar-benar seperti sebuah kelahiran semula,” katanya selepas mengadakan persembahan tersebut.

Persembahan pertamanya di Philharmonie de Paris sejak wabak Covid-19 melanda negara itu.

Renaud dan 23 pemain orkestra lain mempersembahkan Metamorphosen, karya komposer German, Richard Strauss pada malam Khamis tersebut.

Dalam dewan yang boleh memuatkan lebih 2,000 penonton itu hanya kelihatan dua atau tiga pekerja yang memakai pelitup muka sahaja sesuai dengan arahan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Para pemain orkestra pula tidak diwajibkan memakai pelitup muka tetapi perlu duduk dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain ketika berada di atas pentas.

Begitu pun, mereka tetap memberi persembahan terbaik kepada para penonton yang menyaksikan konsert tersebut di rumah sama ada melalui siaran langsung daripada laman web.- MalaysiaGazette