Donald Trump

WASHINGTON- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengumumkan akan menarik balik dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menamatkan status perdagangan khas Hong Kong serta menggantung visa siswazah China yang disyaki menjalankan kajian bagi pihak kerajaan.

Langkah-langkah baharu itu adalah susulan ‘pertelingkahan’ di antara AS dan China yang berterusan semasa pandemik koronavirus.

Trump menzahirkan rasa marahnya terhadap WHO sejak beberapa minggu lalu ke atas apa yang disifatkannya sebagai respon tidak mencukupi ketika wabak berkenaan mula dikesan di Wuhan, China akhir tahun lepas.

Presiden itu dalam satu taklimat di White House berkata, pegawai-pegawai tinggi China “mengabaikan” tanggung jawab mereka dalam melaporkan situasi Covid-19 kepada WHO dan memberi tekanan kepada pertubuhan itu untuk mengelirukan orang awam sehingga menyebabkan lebih 100,000 orang terkorban di AS.

“Kami telah memperincikan langkah reformasi yang perlu diambil dan berhubungan secara langsung dengan mereka tetapi mereka enggan bertindak.

“Disebabkan mereka gagal memenuhi permintaan tersebut dan perlukan reformasi besar-besaran, dengan itu kami hari ini memutuskan hubungan dengan WHO,” tegasnya.

AS merupakan sumber terbesar kewangan WHO dan penamatan sokongan tersebut dijangka memberi kesan teruk kepada pertubuhan berkenaan.

Menurut Trump, AS akan menyalurkan wang berkenaan kepada “pertubuhan dunia lain yang lebih memerlukan keperluan kesihatan yang lebih mendesak di dunia”.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama pertubuhan tersebut secara khusus.-MalaysiaGazette