Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Aplikasi baharu yang dikenali sebagai MySejahtera Check-In akan diperkenalkan bagi membantu kerajaan mengawasi penularan wabak Covid-19 dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MySejahtera Check-In merupakan aplikasi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur dan seragam ke premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat.

“MySejahtera merupakan satu aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Aplikasi ini memberikan kemudahan untuk membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan, seterusnya menangani wabak Covid-19 dan membantu individu mengenal pasti tahap kesihatan mereka sepanjang penularan wabak itu.

“Ia juga membantu individu mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti Covid-19 serta mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan,” katanya pada siding media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang merupakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) menyatakan, sehingga 29 Mei lalu, aplikasi MySejahtera telah mempunyai sebanyak 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Katanya, aplikasi itu juga berfungsi bagi membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak Covid-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara.

MySejahtera Check-In ini akan boleh digunakan bermula 2 Jun ini di tiga outlet AEON.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai agar memuat turun aplikasi MySejahtera ini dalam membantu usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun dari Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery,” katanya.

Berhubung pengampunan sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, ia bukan pengampunan, tetapi kebenaran kepada Pati untuk tampil membuat pemeriksaan kesihatan.

“Sebenarnya bukan pengampunan, tetapi kebenaran untuk mereka tampil membuat pemeriksaan. Kita telah umumkan perkara ini sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

“Tetapi, mereka tidak mahu beri Kerjasama. Mereka takut ditangkap. Oleh itu, tempoh ini telah tamat, maka kerajaan serah kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengambil Tindakan mencari dan menangkap Pati ini.

“Bagi PATI yang negative Covid-19, kita akan tempatkan didepot tahanan, manakala yang positif akan dihantar ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette