Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa minggu depan dan diunjur mencecah paras 4.30 sekiranya sentimen minat terhadap risiko kekal dan dolar AS terus susut.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata, kemungkinan peningkatan ketegangan AS-China susulan pengumuman Presiden Donald Trump pada Jumaat boleh mencetuskan lebih banyak penghindaran risiko dan menjadikan ringgit/dolar lebih dekat ke arah paras 4.40.

Beliau berkatam pengumuman angka senarai gaji bukan ladang AS bagi bulan Mei tidak dijangka banyak menjejaskan dolar AS, memandangkan pelabur tidak begitu mengambil kira peningkatan kadar pengangguran di AS.

“Bagaimanapun, sekiranya sidang media Presiden Trump terbukti hanya sekadar gembar-gembur sahaja ia akan menyebabkan dolar AS terus menurun kerana aliran minat risiko akan memberikan sedikit kelegaaan kepada mata wang Asia,” katanya kepada Bernama.

Dalam minggu yang baru berakhir ini, kebanyakan mata wang Asia dapat mengambil kesempatan daripada penurunan minat terhadap dolar AS, apabila unit tempatan melepasi paras di bawah purata penggerak 50 harinya berbanding dolar AS, dan diniagakan di bawah paras psikologi 4.35.

“Sentimen minat risiko bertahan dalam pasaran global, membolehkan mata wang Asia meningkat berbanding dolar AS,” kata Tan.

Pada Isnin, pasaran Asia akan memberikan reaksinya kepada pengumuman Presiden Trump pada Jumaat yang boleh mempengaruhi pasaran global.

Lonjakan semula dolar AS, mendapat sokongan daripada penghindaran risiko, boleh menyebabkan mata wang Asia terus jatuh, katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3450/3500 pada Jumaat daripada 4.3610/3690 pada minggu sebelumnya tetapi susut berbanding euro kepada 4.8369/8433 daripada 4.7562/7667.

Ringgit naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 4.0528/0586 daripada 4.0567/0653 minggu sebelumnya tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0768/0810 daripada 3.0638/0698 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3435/3514 daripada 5.3078/3118 sebelumnya. – MalaysiaGazette