Azman Kang (kiri) bersama pengadu dalam kes pinjaman ceti haram melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.5 juta.

KUALA LUMPUR – Asalnya peniaga ini meminjam sebanyak RM400,000 dari seorang ceti haram untuk menguruskan perniagaan herba dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, setelah membuat bayaran RM4,000 seminggu, peniaga berkenaan terkejut apabila diberitahu oleh ceti terbabit, yang jumlah hutang keseluruhan perlu dibayar ialah sebanyak RM1.5 juta.

Buntu dengan tindakan keterlaluan ceti haram terbabit, peniaga dari Melaka itu membuat aduan kepada sebuah NGO, Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) supaya dapat membantunya.

Menurut Pengerusi GBAM, Azman Kang Abdullah, mangsa memaklumkan, berdasarkan syarat pinjaman, ceti terbabit mengenakan syarat bayaran secara mingguan sebanyak RM4,000 seminggu.

Namun, katanya, ceti terbabit telah melanggar syarat yang ditetapkannya sendiri apabila menaikkan jumlah bayaran kepada RM7,000 seminggu.

“Bimbang kerana sering diugut oleh ceti terbabit, mangsa terpaksa membayar jumlah yang diarahkan sehingga berjumlah RM700,000 bayaran dibuat.

“Sepatutnya hutang itu sudah selesai, tetapi lain pula jadinya, apabila ceti terbabit memberitahu mangsa perlu menjelaskan baki RM800,000 lagi kerana jumlah keseluruhan hutang termasuk faedah adalah RM1.5 juta,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya mendapati ceti haram itu cuba mengambil kesempatan ke atas peminjam ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Menurut beliau, berdasarkan aduan mangsa, kaedah bayaran yang dipersetujui kedua pihak adalah RM4,000 seminggu, tetapi terma itu diubah sesuka hati kepada RM7,000 setiap tiga hari.

“Semakan yang kita lakukan mendapati, pengadu membuat pinjaman berkenaan ketika awal PKP dan sudah membayar sebanyak RM700,000.

“Bagaimanapun, dengan kaedah ditentukan sesuka hati oleh ceti haram terbabit, pengadu diminta membayar baki sebanyak RM1.5 juta, iaitu baki hutang berkali ganda daripada kadar pinjaman asal.

“Kita dapati trend ceti haram menggugut peminjam ketika PKP juga meningkat sejak beberapa minggu lalu dan ia semakin membimbangkan kerana perniagaan baru saja dibenarkan beroperasi ketika PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau menjelaskan, ketika peminjam bergelut untuk menyediakan bayaran, ceti terbabit pula terus berleluasa mencari peminjam baru serta mengutip hutang tanpa rasa tanggungjawab walaupun kerajaan menetapkan institusi kewangan sah memberikan morotarium.

Kata Azman, GBAM telah membuat laporan polis mengenai isu itu dan berharap orang ramai tidak termakan dengan umpan ceti haram yang akan bertindak di luar kawalan demi mengaut keuntungan. – MalaysiaGazette