Kedai gunting rambut masih belum dibenarkan beroperasi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, orang ramai memanggil tukang gunting untuk menggunting rambut di rumah juga dianggap satu kesalahan di bawah akta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang tidak dibenarkan sama sekali. Prosedur operasi standard (SOP) untuk kedai gunting masih dalam peringkat persediaan.

“Saya percaya pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyediakan SOPnya bersama Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi setakat ini belum dibentangkan pada Jemaah Menteri lagi.

“Bila tarikh operasi itu bergantung pada SOP yang akan diluluskan MKN dan KKM nanti. Setakat ini gunting rambut masih dalam senarai tidak dibenarkan termasuk di rumah,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada kedai makan dan restoran supaya mematuhi SOP ditetapkan iaitu beroperasi sehingga jam 10 malam.

Ismail Sabri Yaakob

Tegasnya, tidak ada sebarang kelonggaran diberikan kerajaan kepada kedai makan dan restoran berkenaan walau popular sekalipun.

“Bab SOP, tidak ada keistimewaan termasuk kedai mamak. Peraturan tetap peraturan dan semua pihak perlu patuh, tidak kira siapa.

“Keputusan kerajaan jelas, mana-mana restoran atau kedai makan mesti patuhi SOP dan tutup kedai jam 10 mlm, itu jelas.

“Selain itu, mereka juga perlu mematuhi syarat yang kita tetapkan seperti penjarakan sosial, pengambilan suhu pelanggan, menulis nombor telefon dan nama penuh,” katanya.

Ismail berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, beliau akan mencadangkan pihak berkuasa tempatan dan polis mengambil tindakan tegas ke atas kedai yang melangar arahan. – MalaysiaGazette