Kes Covid-19 terus mengancam penduduk Tokyo. foto Agensi

TOKYO – Jepun sedang mempertimbang untuk membuka sempadannya kepada pengembara negara-negara terpilih yang mempunyai jangkitan kes koronavirus yang rendah.

Negara ini sudah pun melonggarkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan awal tahun ini bagi mengekang penularan wabak koronavirus.

Sekolah-sekolah, panggung wayang, kelab-kelab sukan dan pusat beli-belah telah dibuka semula pada hari ini.

Media tempatan melaporkan Kerajaan Jepun bercadang untuk membenarkan pengembara perniagaan dari Thailand, Vietnam, Australia dan New Zealand memasuki negara ini jika ujian saringan sebelum penerbangan yang dijalankan negatif.

Sejak Februari lalu, Jepun telah melarang kemasukan warga asing untuk mengelakan penyebaran koronavirus.

Bagaimanapun, pergerakan mereka adalah terhad iaitu di kawasan penempatan, pejabat dan kilang sahaja.

Jepun merekodkan sebanyak 17,000 kes jangkitan Covid-19 setakat hari ini dengan 900 kes kematian.

Negara Jepun, Thailand, Vietnam, Australia dan New Zealand adalah rakan Perkongsian Trans-Pasifik. – MalaysiaGazette