Anggota polis melakukan pemeriksaan kadar alkohol seorang pemandu kereta pada Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid - 19 di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

BARU-baru ini semasa Malaysia masih di tengah suasana Hari Raya di bulan Syawal, masyarakat digemparkan dengan berita tragedi di Jalan Pintasan Kuantan di mana mangsa, Irwan Kamarudin terbunuh akibat dilanggar oleh sebuah kereta lawan arus yang dipandu oleh seorang pemandu mabuk.

Sebelum ini pula kes anggota polis yang meninggal dilanggar pemandu mabuk.

Di Amerika Syarikat mengikut CDC pada 2017, kematian di sebabkan oleh pemandu mabuk merupakan punca kematian yang ketiga tertinggi selepas sakit jantung dan kanser. Dianggarkan seramai lebih 5% penduduk di Barat tidak dapat bekerja kerana ketagih alkohol.

Untuk Amerika Syarikat jumlah itu adalah dalam anggaran 17 juta orang. Di Australia pula, statistik keganasan rumah tangga menjangkau 600 ribu kes setahun, akibat ketagihan alkohol dan dadah. Diketahui umum bahawa ketagihan alkohol boleh membawa bahaya yang besar kepada masyarakat dan negara.

Namun, masih kurang usaha untuk sekurang-kurangnya menghadkan penjualan alkohol yang berleluasa. Alkohol boleh diperolehi di mana-mana berdekatan kita.

Usaha murni kerajaan untuk menghadkan pengambilan alkohol melalui cukai yang tinggi mungkin tidak menghasilkan natijah yang diingini. Penjualan alkohol juga perlu dikawal rapi.

Ramai yang mungkin tidak ingat di Amerika Syarikat, dari 1920 hingga 1933 berlaku pengharaman penjualan alkohol di seluruh negara kerana masalah yang disebabkan oleh ketagihannya.

Dalam syariat Islam, sudah jelas bahawa bukan sahaja meminum tetapi juga menjual, mengangkut dan menghidang arak adalah satu kesalahan.

Bagaimanapun, sebagai masyarakat majmuk, kita akur bahawa melaksanakan pengharaman secara terus agak sukar. Namun begitu, itu tidak bermakna keadaan yang sedia ada dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Konsep ‘drink responsibly’ sudah terbukti gagal.

Bukan sahaja Islam yang melarang pengambilan alkohol dan sebarang bahan yang memabukan, agama-agama lain juga jelas melakukan larangan sama.

Kepercayaan Hindu, Buddha, Sikh, Bahai dan beberapa denominasi Kristian jelas menegah pengambilan alkohol. Satu usaha bersama oleh pemimpin pelbagai agama perlu untuk mencari solusi untuk masalah yang berpanjangan ini.

Tindakan multilateral dari semua lapisan masyarakat dan pimpinan agama perlu dibuat segera bagi menangani gejala yang serius ini.

Tindakan undang-undang yang lebih tegas bagi pemandu mabuk dan keganasan rumah tangga akibat mabuk alkohol perlu digubal. Masalah ini perlu diketengahkan untuk dibincang, dikaji dan diambil tindakan yang berkesan. Dalam suasana PKPB ini, ACCIN melihat satu peluang untuk kerajaan mengambil tindakan tegas bukan sahaja dari segi undang-undang jalan raya tetapi juga usaha menyekat penjualan arak yang setakat ini kurang dikawal.

 

Hj Ir Mohd Jamaludin b. Shamsudin
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN)