Lensa MG

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kementerian Kewangan yang menyatakan hampir 70 peratus tenaga kerja telah mula bekerja merujuk kepada data daripada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sehingga 17 Mei, Jabatan Perangkaan mendapati lebih kurang 10.25 juta atau 67.2 peratus pekerja (atau hampir 70 peratus pekerja) telah mula bekerja semula, peningkatan daripada 6.64 juta atau 43.6 peratus pada 10 Mei yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Angka itu mengambil kira mereka yang bekerja dari rumah dan merangkumi pelbagai sektor ekonomi seperti perkhidmatan, pertanian, pembuatan, dan perlombongan dan pengkuarian.

”Peningkatan angka pekerja yang bekerja semula menunjukkan bahawa pembukaan ekonomi pada 4 Mei oleh kerajaan – Alhamdulillah — setakat ini berjalan dengan lancar,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum tentang kadar pengangguran negara pada suku pertama 2020 di tahap 3.5 peratus menunjukkan betapa seriusnya cabaran Covid-19 kepada ekonomi kebanyakan negara.

Namun, peningkatan jumlah pengangguran ini masih di dalam kawalan berbanding 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

Jelas beliau, program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) menjamin kelangsungan pekerjaan bagi hampir 2.4 juta pekerja di seluruh negara.

Tanpa program-program ini, besar kemungkinan kadar pengangguran adalah lebih tinggi.

Sebagai perbandingan, kadar pengangguran Suku Pertama di negara Filipina adalah 5.3 peratus (peningkatan daripada 4.5 peratus pada suku sebelumnya), Sepanyol 14.41 peratus (peningkatan daripada 13.78 peratus pada suku sebelumnya), dan New Zealand 4.2 peratus (daripada 4.0 peratus pada suku sebelumnya).

Ini menunjukkan bahawa Covid-19 memberi kesan kepada pekerjaan di peringkat global.

Tengku Zafrul berkata, unjuran pertumbuhan sebenar bergantung kepada pelbagai faktor meskipun pelbagai agensi antarabangsa adalah positif, iaitu 5.8 peratus (menurut agensi penarafan kredit Fitch), 6.4 peratus (menurut Bank Dunia) dan sembilan peratus (menurut IMF).

Faktor utama ialah kebolehan negara membendung penularan wabak Covid-19 dan menjamin kesihatan rakyat, kedua, Pakej Prihatin yang berjumlah RM260 bilion dijangka menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 2.8 peratus.

”Tanpa Pakej Prihatin, unjuran pertumbuhan KDNK negara akan lebih rendah daripada yang telah diumumkan oleh Bank Negara,” katanya sambil memberitahu kerajaan peka terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi pekerja dan rakyat.

Ujar beliau, kerajaan tidak mengambil mudah kesan Covid-19 ke atas nyawa dan kehidupan dan sentiasa memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi. – MalaysiaGazette