Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Amat canggung sekali bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong yang juga bekas mahasiswa sains politik dalam menelaah kesilapan hala tuju Pas.

Namun, Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin tidak hairan kerana strategis DAP menyasarkan Pas untuk ditempelak kerana tidak memilih haluan seperti rakan sekutu rapatnya, Parti Amanah Negara (Amahah).

Kata beliau, jika Chin Tong memuji haluan baharu Pas, sudah pasti akan dikirimkan kepadanya sekeping borang keahlian Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dengan pengecualian yuran seumur hidup.

“Namun, tidak begitu. Acuan pemikiran politik Chin Tong jauh berbeza dengan kepimpinan utama Pas. Jika Amanah itu ditubuhkan kerana dikatakan pengarus-perdana, apalah yang dibanggakan dengan mereka sehingga kini?

“Tidak lain hanyalah pengikut setia dan suruhan DAP sahaja. Kami yang tinggal dikatakan ‘asolah’ ini yang gigih menentang agenda DAP, ‘Malaysians Malaysia’, kesamarataan dan cubaan menggoyah tonggak utama negara.

“Tambahan lagi, DAP memang gemar pecah perintah kuasa politik Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau menyatakan, kesilapan 22 bulan lalu harus disusun semula, direncana dengan lebih kukuh dan menjadi tonggak kestabilan politik, di samping tidak menzalimi kaum serta agama lain.

Itulah, kata Khairil Nizam, pengikat kerjasama baharu Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO serta parti yang lain.

Menurut beliau lagi, Pas pernah bersama DAP dan kerjasama itu didasari dengan ikatan tahalluf siyasi bersama syarat-syaratnya.

“Namun, syarat itu telah dirobek oleh DAP dan tiada segan silu untuk Pas membatalkannya. Pas yang ditubuhkan sebelum merdeka mempunyai aspirasi dan tuntutan perjuangannya sendiri.

“Mana mungkin hanya disebabkan tahalluf siyasi itu Pas diminta untuk menanggalkan prinsipnya. Malaysia yang majoriti Melayu ini harus dinakhoda oleh kuasa politik Melayu-Islam yang solid.

“Assabiyah itu ialah menyokong membabi buta sehingga sanggup berlaku zalim dan rasisme yang melampau menafikan hak agama serta kaum lain,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama Pas-UMNO adalah untuk mengukuhkan kekuatan politik Melayu Islam yang selama ini rapuh.

Hidup bertelingkah tidak sudah, katanya, walaupun berpecah sampai terbelah.

“Kerjasama ini bukan untuk menutup bangkai gajah. Muafakat Nasional bukan untuk membakar sentimen perkauman, tetapi benteng penyatuan ummah. Kepada siapa lagi untuk diharap kekuatan politik Melayu-Islam? DAP?

“Tujuan Chin Tong menulis tempelak hala tuju Pas yang tersalah hanya untuk menutup kelemahan DAP, sedang parti cauvinis itu adalah liabiliti terbesar kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

“Betul, pengundi memilih PH untuk menyingkir Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Akhirnya mereka kecewa kerana janji sewenangnya dikhianati, hal agama dan kaum pula yang dipermainkan,” ujarnya.

Kata Ir, Khairil Nizam, lima kali PH tewas dalam PRK adalah referendum rakyat dan kesilapan mereka mencatur gerak politik untuk menaikkan pengidam jawatan Perdana Menteri yang jelas memakan diri sehingga berubah 360 darjah kuasa kerajaan.

Hari ini, kata beliau, PH kembali meroyan untuk merampas semula kerajaan, tetapi rakyat lebih selesa ditadbir kerajaan yang lebih prihatin, damai dan menyenangkan. – MalaysiaGazette