Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 87 kes penipuan jual beli penitup muka dilaporkan di ibu negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, mengakibatkan kerugian sebanyak RM2,504,171.70.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sejak wabak Covid-19 melanda dunia, topeng muka, sarung tangan, cecair nyah kuman dan beberapa barangan lain yang digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus itu mendapat sambutan orang ramai.

“Permintaan topeng muka yang tinggi menyebabkan terdapat ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan cara atas talian.

“Statistik JSJK Kuala Lumpr bermula Januari hingga Mei lalu menunjukkan sebanyak 87 kes penipuan jual beli litup muka dilaporkan.

“sehingga 1 Jun 2020, sebanyak 41 tangkapan dibuat dan 24 kes dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, peningkatan kes tersebut amat membimbangkan.

Beikutan itu, Mazlan menasihatkan orang ramai supaya mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan jual beli litup muka secara atas talian.

“Antara langkah selamat ialah membeli barang secara atas talian daripada penjual sahih dan disahkan sementara membuat semakan senarai nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/;status online seller di laman web http://biztrust.ssm.com.my.

“Elak berurusan di laman web yang mencurigakan, elak komen dan kaji pembeli lain dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang menarik dan murah tanpa melihat secara fizikal.

“Jangan mudah terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini dan pastikan semakan dibuat secara terperinci sebelum melakukan apa apa transaksi dan pembayaran serta sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi hotline polis KL di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette