Fukuoka merekodkan semula penularan wabak Covid-19. foto Agensi

TOKYO – Selepas sifar kes jangkitan Covid-19 dari 30 April lalu hingga 22 Mei, bandar Kitakyushu di Fukuoka menyaksikan 119 kes dalam tempoh 11 hari – menyebabkan barisan hadapan Jepun berdepan dengan gelombang baharu.

Antaranya ialah 11 pelajar dari empat sekolah rendah dan sekolah menengah, yang menyebabkan sekolah ditutup semula dan penutupan kemudahan awam seperti galeri seni yang dibenarkan dibuka semula pada 18 Mei.

Di Tokyo, 34 kes baru direkodkan semalam – pertama kalinya sejak 14 Mei jumlah jangkitan harian meningkat melebihi 30.

Ini menandakan kenaikan tiga kali ganda daripada 13 kes yang direkodkan pada hari Isnin, mendorong Gabenor Tokyo, Yuriko Koike untuk mengeluarkan “amaran Tokyo” semalam, yang boleh mencetuskan arahan baharu penutupan semula perniagaan dan orang ramai diminta elak menghadiri acara tidak penting.

Kes jangkitan itu berlaku setelah keadaan darurat ditarik balik di Fukuoka pada 14 Mei dan di Tokyo pada 25 Mei.

“Kejutan kecil dalam kes ini telah dijangkakan,” kata Dr Shigeru Omi, Timbalan Ketua Panel Pakar KErajaan berhubung Covid-19.

“Sifat virus ini pada waktu ini adalah mustahil untuk mengurangkan tahap penularan kepada sifar.”

Dr Omi berkata infrastruktur perubatan Jepun sekarang lebih kukuh untuk mengekang kenaikan jumlah kes.

Atas faktor ini, darurat tidak akan dikenakan, katanya, sambil menambahkan langkah menangani harus segera dilakukan dalam mengenal pasti rantai penularan.

Kira-kira satu dari tiga kes gelombang kedua Kitakyushu tidak diketahui punca jangkitan.

Namun, kluster dikesan di dua hospital dan satu rumah warga tua. – MalaysiaGazette