Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR – Tindakan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya
yang masih menggunakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas diberhentikan disifatkan telah melanggar asas peraturan perundangan (Rule of Law).

Dalam satu kenyataan bersama, Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan mengecam tindakan Marzuki yang dianggap telah melakukan salah laku secara sedar terhadap perkara tersebut.

“Kami merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya, bertarikh 2 Jun 2020, yang mana beliau secara sedar dan telah membuat salahlaku kerana masih lagi menggunakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

“Fasal 16.3.3 Perlembagaan memperuntukan bahawa antara tugas-tugas Presiden ialah melantik Setiausaha Agung selepas berunding dengan Pengerusi.

“Pengerusi Bersatu telah meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020. Surat pemberhentian Senator Datuk Wira Marzuki Yahya
sebagai Setiausaha Agung Bersatu telah diserahkan oleh Presiden Bersatu kepada beliau melalui surat bertarikh 18 Mac 2020.

“Fasal 16.9 Perlembagaan memperuntukan bahawa jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baru mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mempersoalkan sama ada Marzuki meletakkan dirinya lebih tinggi dari undang-undang dan Perlembagaan Parti atau merasakan dirinya kebal dari sebarang tindakan.

Kata kenyataan itu, Bersatu Wilayah Persekutuan mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya akan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari untuk keluar dari Pakatan Harapan.

Malah, Bersatu Wilayah Persekutuan juga mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya pemakluman oleh Setiausaha Kerja Bersatu kepada ahli-ahli parti yang didapati telah menyertai kelompok pembangkang dan sebagaimana yang telah dimaklumkan juga melalui satu sidang media oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 29 Mei lepas.

“Kami mohon supaya tuduhan-tuduhan tanpa asas oleh mana-mana pihak dihentikan.

“Kami menzahirkan pernyataan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada Tan Sri Presiden Bersatu merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Perlantikan Tan Sri Presiden Bersatu merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu oleh Yang diPertuan Agong adalah setelah melalui semua proses dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berdoa semoga Tan Sri Presiden Bersatu merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu diberikan kekuatan, kecekalan dan kesabaran untuk terus memimpin kami di dalam mendepani situasi dan cabaran kemelut parti masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Pecat saja kerana langgar perayuran dan an engkar perintah. Gila kuass.

  2. Tak perlu bg ulasan bodoh, rakyat semua dah tahu, Tun & lain2 tak bersalah. Presiden yg sebenarnya bersalah dan patut dikenakan tindakan disiplin

Comments are closed.