foto: Jabatan Perikanan

KUALA LUMPUR – Kejadian ikan mati dan terapung di perairan Pulau Pinang dan Perak baru-baru ini disebabkan kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga (Cochlodinium sp) yang tinggi di perairan itu.

Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan Cochlodinium adalah spesies plankton yang toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan, namun tidak memberi kesan kepada manusia.

Menurut jabatan itu, hasil ikan yang diternak di kawasan tersebut adalah selamat untuk dimakan.

“Tiada aduan melibatkan ikan laut liar dibuat kepada Jabatan Perikanan Negeri setakat ini. Ini berikutan ikan liar lebih mudah melarikan diri dari kawasan yang tercemar dengan ledakan alga Cochlodinium,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Jabatan itu menyebut, menurut Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung, Pulau Pinang, ledakan alga itu merupakan kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai seluruh dunia pada setiap tahun.

Menurut jabatan itu, disebabkan ledakan alga berkenaan, ikan-ikan terutamanya yang diternak di dalam sangkar mati akibat kekurangan oksigen ekoran insang ikan tersumbat, kerengsaan dan kerosakan pada tisu insang ikan.

Ia juga memaklumkan ledakan alga itu dijangka boleh melarat sehingga ke perairan negeri Kedah dan memberi kesan yang sama.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perikanan menyarankan supaya penternak tidak membuang bangkai ikan tercemar ke laut atau kawasan sangkar, dan ikan-ikan yang mati perlu dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Penternak juga dinasihat untuk memindahkan ikan ternakan yang terkena ledakan alga ke kawasan/petak sangkar yang tiada ledakan serta bersedia menuai ikan jika kelihatan ikan kesesakan nafas bagi mengelakan kerugian yang lebih banyak,” menurut kenyataan itu. – Bernama