Arkib: Para graduan sibuk mengisi borang semasa satu Program Temuduga Terbuka foto SAFWAN MANSOR, 24 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur bagi tahun ini.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kadar pengangguran pada bulan Mac lalu adalah sebanyak 3.9 peratus atau sekitar 610,000 oenganggur.

Jelasnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga diramal menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha membendung penularan pandemik masih dijalankan di dalam negara dan di peringkat global.

“Saya ingin mengambil sikap berterus-terang dengan saudara dan saudari mengenai kedudukan ekonomi negara kita.

“Seperti negara-negara lain, Malaysia juga menghadapai cabaran yang agak getir.

“Untuk menangani situasi semasa ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung rakyat, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.

“Susulan itu juga, pada 4 Mei lepas, kerajaan telah membenarkan pembukaan beberapa sektor bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) hari ini.

Hari ini, beliau mengumumkan sejumlah 40 inisiatif di bawah Penjana yang diharapkan dapat memulihkan semula serta merangsang ekonomi negara.

Tambah Muhyiddin, setakat 2 Jun lalu, Jabatan Perangkaan mendapati lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.

Ujarnya, dua pakej rangsangan ekonomi terdahulu telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.

“Walaupun banyak sektor-sektor ekonomi telah dibuka, kita bersyukur kerana wabak Covid-19 kekal terkawal.

“Sehingga kini, tidak berlaku peningkatan mendadak kes-kes positif Covid-19 kerana majikan, peniaga, pekerja dan pelanggan di premis-premis perniagaan rata-ratanya mematuhi arahan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau tidak kerana polisi PHancing yang membenarkan pelancung China berbondong2 masuk diwaktu awal merebaknya COVID-19, negara mungkin tidak terjejes teruk!

    Kasihan PN kerana terpaksa MEMBERSIHkan TAIK@SHIT yang ditinggalkan PHancing. Ianya suatu tugas sukar.

Comments are closed.