Petugas masjid sedang membuat persiapan sebelum solat Jumaat pertama sejak Mac dilaksanakan hari ini. Foto: Agensi

JAKARTA- Kumpulan penganut agama Islam kedua terbesar Indonesia, Muhammadiyah membenarkan ahlinya dan orang Islam lain secara am untuk menunaikan solat Jumaat di masjid dan kawasan ibadat Islam lain bermula hari ini.

Mereka bagaimanapun perlu mematuhi protokol kesihatan serta peraturan khusus yang telah ditetapkan bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Pengumuman tersebut menandakan pembukaan masjid-masjid serta tempat ibadah Muslim yang lain terutamanya yang mempunyai kaitan dengan Muhammadiyah selepas ditutup sejak Mac lalu.

Dalam satu pekeliling yang dibacakan oleh Timbalan Setiausahanya, Agung Danarto dalam satu taklimat media semalam, Lembaga Eksekutif Pusat Muhammadiyah menyatakan, kesemua solat Jumaat wajib diadakan sama ada di masjid, surau atau tempat lain yang serupa.

“Solat-solat yang diadakan di masjid atau surau perlu mematuhi protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh pusat gerakan Covid-19 Muhammadiyah atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut pekeliling tersebut, di bawah protokol kesihatan Covid-19 itu, solat Jumaat boleh dilaksanakan lebih daripada satu sesi atau diadakan di beberapa tempat seperti bangunan lain atau bilik dan bukan terhad kepad majis atau surau sahaja.

Ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang Islam untuk menunaikan solat Jumaat.

Ia juga mengingatkan orang ramai yang status zon hijau dan merah adalah bersifat dinamik yang mana ianya akan sentiasa berubah-ubah.

Dengan itu, semua ahli serta orang ramai perlu sentiasa peka dengan perubahan tersebut.

“Adalah dinasihatkan dalam kita menunaikan kewajipan, umat Islam juga perlu memastikan kesihatan, manfaat dan keselamatan diberi pertimbangan serupa bagi mengelakkan sebarang impak negatif atau kerosakan.

“Ia juga adalah untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19,” tambah Agung. – Agensi