Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Wisma Putra mengesahkan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan rakyat Malaysia terlibat mahu pun cedera dalam rusuhan rusuhan yang berlarutan di lebih 70 buah bandar di Amerika Syarikat susulan kematian George Floyd pada 25 Mei 2020.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara umumnya semua rakyat Malaysia di sana dalam keadaan selamat, dan mereka dinasihatkan terus berwaspada menjaga keselamatan diri serta mematuhi setiap arahan keselamatan termasuk perintah berkurung.

Katanya, para perwakilan Malaysia di Washington D.C, New York dan Los Angeles akan terus memantau rapi situasi semasa dan sentiasa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia di sana bagi berkongsi maklumat serta mendapatkan perkembangan terkini khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kejadian ini.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk berhubung dengan pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di lokasi yang berkenaan. Paling penting, kekal bertenang dan terus ikuti perkembangan terkini menerusi berita tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Hishammuddin, Malaysia memandang serius kejadian rusuhan tersebut dan berpendirian bahawa sebarang perlakuan yang menyebabkan kematian, kecederaan, kerosakan harta benda serta menjejaskan perniagaan tidak menguntungkan sesiapa.

Malah, katanya, ketidakpatuhan terhadap norma baharu termasuk mengabaikan penjarakan sosial dan berkumpul beramai-ramai amat membimbangkan serta bertentangan dengan usaha banyak pihak di seluruh dunia dalam memerangi COVID-19.

“Malaysia berharap agar krisis ini dapat ditangani secara aman dan menggesa semua pihak yang terlibat menggunakan pendekatan dialog bagi mencari penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette