39 orang yang sertai parti di sebuah banglo di Bangsar ditahan, Seramai 32 suspek positif dadah.

KUALA LUMPUR – Seramai 39 orang ditahan termasuk sembilan wanita Vietnam dalam satu serbuan parti persendirian di sebuah banglo di Bangsar awal pagi semalam.

Turut dirampas enam paket plastik berisi dadah dan 12 biji pil ecstasy yang semuanya bernilai RM5,647.

Hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek perempuan yang ditahan telah menyewa banglo tersebut secara online dengan bayaran RM1,900 semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, dadah yang dirampas telah dibawa masuk oleh salah seorang suspek yang dipercayai penganjur parti.

Menurutnya, para peserta parti itu dihadir selepas dijemput melalui Whatsapp dan panggilan telefon.

”Hasil ujian saringan awal mendapati 32 orang suspek yang ditahan positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Semua suspek warga negara dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang boleh dikenakan di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan )

Manakala suspek bukan warga negara di tahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Kesemua suspek direman sehingga 11 Jun ini. – MalaysiaGazette