WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan membenarkan syarikat penerbangan penumpang China melakukan penerbangan sebanyak dua kali seminggu selepas Beijing berkata ia akan melonggarkan sekatan berkaitan koronavirus dengan membenarkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi, kata Jabatan Pengangkutan AS.

Pada Rabu lalu, Presiden Donald Trump berkata, beliau merancang untuk menghalang semua syarikat penerbangan penumpang China daripada terbang ke AS bermula 16 Jun ini kerana Beijing menghalang syarikat penerbangan AS ketika penularan wabak Covid-19.

Kajian semula arahan Jabatan Pengangkutan menyaksikan ia mengurangkan separuh daripada empat penerbangan pergi-balik seminggu yang diberikan kepada syarikat penerbangan China ke AS berkuatkuasa serta merta.

Jabatan itu berkata, jika China mengambil langkah seterusnya ke atas syarikat penerbangan AS, ia telah ‘bersedia sepenuhnya terhadap tindakan tersebut’, lapor Reuters.

Notis tersebut menambah, jabatan itu ‘bimbang dengan penetapan unilateral berterusan China mengenai terma pasaran pengangkutan udara penumpang berjadual China tanpa menghormati hak syarikat penerbangan AS’.

Pengumuman tersebut memadamkan ketegangan hubungan baharu antara AS dan China. Kedutaan China di Washington tidak mengulas mengenai perkara tersebut.

Pengumuman China sepatutnya membenarkan syarikat penerbangan AS menyambung penerbangan sekali seminggu ke sebuah bandar pilihan mereka bermula Isnin, pecahan yang dibenarkani dalam perjanjian penerbangan AS-China.

Had bilangan penerbangan yang dikuatkuasakan AS memberi kesan ke atas penerbangan pergi balik yang dikendalikan  Air China, China Eastern Airlines Corp, China Southern Airlines Co dan Xiamen Airlines Co..

Tidak diketahui syarikat penerbangan mana yang akan dibenarkan terus beroperasi.

Kini terdapat 152 penerbangan berjadual dari China ke AS pada Jun, termasuk 92 penerbangan United Airlines dan bakinya dikendalikan syarikat penerbangan China dan 2,118 penerbangan pada Julai ini, menurut data penerbangan yang disediakan Cirium.

Pada Mei lalu, terdapat 84 penerbangan dari China ke AS, penurunan sebanyak 95 peratus berbanding bulan yang smaa 2019.

Adalah tidak jelas jika syarikat penerbangan AS bersetuju untuk terbang hanya sekali seminggu ke China apabila mereka  mendapat kelulusan untuk melakukan dua atau tiga penerbangan sehari. – Agensi