Gambar hiasan

DUBAI – Pertubuhan Negara Pengeksport-Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya termasuk Rusia akan bermesyuarat hari ini untuk meluluskan cadangan meningkatkan pengurangan minyak dan mengenakan tekanan kepada Iraq dan Nigeria supaya mematuhi had pengeluaran.

OPEC dan sekutu-sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+ sebelum ini bersetuju mengurangkan bekalan sebanyak 9.7 juta tong sehari pada bulan Mei dan Jun untuk meningkatkan harga bahan api.

Harga minyak menjunam disebabkan pandemik koronavirus.

Setakat ini, OPEC bercadang untuk mengurangkan sehingga 7.7 juta tong minyak mulai bulan Julai hingga Disember ini.

Sumber-sumber memaklumkan, Arab Saudi dan Rusia telah bersetuju untuk melanjutkan pengurangan bekalan minyak sepanjang bulan Julai meskipun Riyadh mahu pemotongan itu diteruskan hingga bulan Ogos.

Penanda aras minyak Brent susut di bawah AS$20 setong pada bulan April, naik hampir 6% pada Jumaat lalu untuk didagangkan melebihi AS$42 setong.

Mesyuarat OPEC secara persidangan video itu akan dimulakan pada 1200 GMT, diikuti dengan pertemuan dengan OPEC+ pada 1400.

Sumber-sumber OPEC mengatakan lanjutan pemotongan bergantung pada pematuhan negara-negara yang menghasilkan melebihi kuota pada bulan Mei dan Jun dengan mengurangkan lebih banyak pada bulan-bulan akan datang. – MalaysiaGazette