Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUM{UR – Semua parti-parti politik serta calon Bebas diminta memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ini bermakna, PRK DUN kawasan Chini tidak perlu diadakan, kata Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ia termasuk tempoh berkempen 14-hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

Dengan itu ia dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang.

”Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, walaupun pandangan Dr Mahathir lebih menjurus kepada PRU tetapi ia seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DUN Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini.

Semalam Dr Mahathir berkata, terdapat sesetengah berpandangan wajar diadakan pilihanraya sekarang namun ketika ini negara tidak bersedia untuk hadapi pilihan raya kerana tidak boleh berkempen, tidak boleh berkumpul dan lakukan apa yang biasa dilakukan semasa pilihan raya.

Wan Rosdy berkata, saranan ini juga selari dengan kenyataan media Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DUN kawasan Chini atas alasan serupa.

Dengan tidak mengadakan PRK itu juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.

PRK intudiadakan susulan pulangnya ke Rahmatullah, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.

Allahyarham mempertahankan kerusi DUN tersebut pada Pilihanraya Umum (PRU) 2004, 2008, 2013 dan 2018.

Pada PRU-14 tahun 2018, Allahyarham memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.

Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon Pas memperolehi 5,405 undi.

Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065 undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada jumlah undian).

Wan Rosdy berkata, oleh kerana BN kini menjalin kerjasama erat dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) menyaksikan Pas meminta kerusi kawasan Chini tidak dipertandingkan, sekali gus memberi peluang kepada calon BN untuk memperolehi kemenangan lebih besar.

”Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa.

”Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.

”Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik Covid-19 yang menggerunkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PH letak calon dan kalau menang pun bukan boleh tukar kerajaan negeri pun, buat macam UMNO haritu PRK PD, masa Anwar tanding tidak letak calon, sebabnya sudah tahu BN menang pun bukan boleh tukar kerajaan pun.

Comments are closed.