Jair Bolsonaro. foto Agensi

BRASILIA – Presiden Jair Bolsonaro mengancam untuk menarik keluar keanggotaan Brazil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setelah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu memberi amaran kepada kerajaan-kerajaan mengenai risiko penarikan semuka sekatan pergerakan sebelum penularan wabak koronavirus reda.

Brazil merekodkan kes kematian harian Covid-19 melebihi Itali pada hari Khamis, tetapi Bolsonaro terus berhujah mengenai pelaksanaan sekatan dengan alasan kos ekonomi melebihi risiko kesihatan awam.

Dalam muka hadapan editorial akhbar Folha de S.Paulo, media itu berkata, sudah memasuki 100 hari sejak Bolsonaro menyifatkan virus berkenaan membunuh rakyat Brazil setiap minit sebagai selsema biasa.

”Ketika anda sedang membaca artikel ini, terdapat rakyat Brazil yang mati akibat koronavirus,” kata akhbar tersebut.

Pada Khamis lalu, Kementerian Kesihatan Brazil memaklumkan jumlah kes jangkitan di negara ini melepasi 600,000 kes dengan 1,437 kematian telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Dengan lebih 34,000 kes kematian, pandemik ini telah membunuh lebih ramai rakyat Brazil berbanding Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Ditanya mengenai langkah melonggarkan arahan penjarakan sosial di Brazil walaupun terdapat kenaikan dan diagnosis kematian setiap hari, jurucakap WHO, Margaret Harris menegaskan kriteria melonggarkan pergerakan adalah apabila kes jangkitan mula menurun.

“Wabak, penularan Covid-19 di Amerika Latin memerlukan keprihatinan tinggi,” katanya pada sidang akhbar di Geneva.
Menurut beliau, di antara enam kriteria utama untuk melonggarkan sekatan pergerakan, “salah satunya adalah penurunan kes jangkitan”.

Dalam komen kepada wartawan pada hari Jumaat, Bolsonaro mengatakan Brazil akan mempertimbangkan untuk meninggalkan WHO kecuali jika badan kesihatan itu berhenti menjadi “organisasi politik kepartian.”

Presiden Donald Trump, sekutu ideologi Bolsonaro, bulan lalu menyatakan Amerika Syarikat akan mengakhiri hubungannya dengan WHO sambil menuduh badan tersebut sebagai boneka China.

Wabak koronavirus pertama kali muncul di Wuhan, China. – MalaysiaGazette