Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Fasa pemulihan yang sedang berjalan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negara ini membolehkan semua sektor dibenar untuk dibuka.

Bagaimanapun, ia pantau menerusi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran akan dijalankan sekiranya berlaku peningkatan kes positif, atau mana-mana lokaliti dan kumpulan disyaki ada jangkitan, selain menjalankan saringan di kawasan terbabit.

“Kita melihat kepentingan untuk menggunakan Akta 342 dan membuka semula sektor ekonomi, sosial dan pelajaran.

“Kita laksanakan ini dalam negara dahulu. Jika kita laksana dalam negara dan berjaya baru kita pertimbang laksanakan di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di kementerainnya di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mungkin akan memberi cadangan mewajibkan semua lapisan masyarakat terhadap mandatori untuk mendapatkan vaksin Covid-19 jika ia sudah ditemui.

Bagaimanapun, dasar mengenai perkara itu belum ada dan pihaknya perlu melihat keberkesanan dan kesan samping.

“Memang kajian ada tetapi belum ada lagi vaksin untuk Covid-19. Tetapi apa yang penting kalau kita ada vaksin, kita juga nak melihat kepada keberkesanan dan kesan samping sebelum keluarkan sesuatu dasar.

“Kita akan melihat kepada dasar yang akan ditetapkan nanti kalau vaksin sudah ditemui. Besar kemungkinan kita akan adakan dasar untuk mewajibkan vaksin. Setakat ini kita tidak ada dasar itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. mana boleh senang2 mewajibkan serta memaksa orang untuk ambil vaksin?
    …takut lebih memudaratkan dari menguatkan badan dari penyakit.

    Malaysia tidak harus jadi “guinea pig” untuk test ubat2 dari syarikat farmaceutical besar dunia terutama dari US.

    Kenapa tidak mereka yang test ubat tu dulu sebelum diperkenalkan di luar negara US tu.

Comments are closed.