Penguatkuasa DBKL menampal notis henti tugas dipintu masuk tapak projek yang didakwa melanggar syarat keselamatan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan hentikan kerja serta merta susulan pendedahan MalaysiaGazette berhubung tapak binaan Bukit Kiara yang menjalankan kerja dalam gelap.

Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun Seksyen 70(13)(d)AJPB.

Katanya, menerusi Ops Pantau Covid-19 terdapat kerja kerja pembinaan (konkrit) sedang dijalankan dalam gelap.

“Pemaju projek tiada kebenaran melakukan projek sebelah malam dan gagal mematuhi garis panduan keselamatan di tapak binaan seperti menyediakan pencahayaan lampu limpah yang mencukupi.

“Kerja-kerja lebih masa perlu mengambil kira faktor keselamatan seperti pencahayaan dari lampu limpah dan lain-lain.

“Setakat ini, sebanyak empat tapak binaan diambil tindakan oleh pihak DBKL,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika ini DBKL memberi kebenaran kepada 167 tapak binaan untuk bekerja lebih masa tetapi syarat-syarat tertentu ditetapkan.

“Antara syarat kelulusan adalah syarat-syarat teknikal dan berada jauh dari kediaman atau telah mendapat kata sepakat dan kerjasama bersama penduduk sekitar,” katanya.

MalaysiaGazette mendedahkan tinjauan wartawan sejak malam Selasa lalu mendapati satu tapak binaan yang menjalankan kerja sebelah malam dalam keadaan mencurigakan dan gelap tanpa lampu, dibimbangi tiada kelulusan.

Tambah beliau, pemaju diberi tempoh tiga bulan untuk bekerja lebih masa dan boleh mohon lanjutan sekiranya perlu dan tiada masalah kacau ganggu oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

Kenapa tapak binaan buat kerja dalam gelap?