Halimah Mohd Sadique

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Tugas Rondaan Di Zon Hijau oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat akan bermula pada 20 Jun ini.

Keputusan ini merupakan susulan kepada keputusan Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP sebelum ini supaya Rukun Tetangga (RT) dibenarkan mengadakan rondaan SRS berskala kecil di kawasan mereka semasa tempoh PKPB dan mematuhi protokol kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian Perpaduan telah mengenal pasti sebanyak 1,079 SRS dalam Zon Hijau dengan jumlah peronda seramai 68,410 orang yang dibenarkan bertugas dalam sepanjang tempoh PKPB.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dijadualkan membuat penyerahan peralatan rondaan SRS Perpaduan Negara kepada wakil-wakil SRS yang terlibat pada 17 Jun ini.

SRS adalah pasukan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 16(3), Akta Rukun Tetangga 2012 yang bertanggungjawab menjalankan rondaan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menjaga keselamatan komuniti.

KRT memainkan peranan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat bagi memastikan Zon Hijau terus kekal Hijau dan selamat dari penularan wabak Covid-19.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,274 KRT di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 5,302 SRS telah ditubuhkan. – MalaysiaGazette