Gambar hiasan

MASYARAKAT cukup beremosi ketika ini tatkala membicarakan isu pemandu mabuk yang memandu sehingga mengakibatkan kematian. Pelbagai aspek disentuh, hak ahli keluarga untuk membuat tuntutan sivil, undang-undang yang berkaitan dengan penjualan minuman beralkohol serta kesediaan penggubal undang-undang untuk meminda peruntukan dalam akta sedia ada. Pada tahun 2017, seorang remaja memandu ,enongkah arus di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Butterworth sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal. Lima bulan pertama tahun ini menyaksikan sembilan kematian dan dua puluh dua kes dicatatkan. Angka ini menunjukkan peningkatan yang mendadak daripada tahun sebelumnya di mana dari Januari sehingga Disember 1999 hanya dua puluh tiga kes dicatatkan.

Pelbagai saranan diberikan, antaranya menjatuhkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup ke atas pelakunya. Apabila seseorang pemandu mabuk ditahan dengan kandungan alkohol melebihi 80mg dan didapati melanggar mangsa, pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan di bawah seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan dengan saksi dan bukti. Seterusnya, kertas siasatan tersebut akan diserahkan kepada pendakwaraya untuk memulakan pertuduhan di mahkamah. Walau bagaimana pun, pesalah trafik tersebut akan dibenarkan diikat jamin sementara menunggu hari perbicaraan. Ini adalah prosedur yang standard. Tiada seksyen khusus di dalam Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Seksyen 41 umpamanya, menyentuh keadaan di mana pemandu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.

Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan telah pun dipinda sebelum ini. Hukuman sedia ada yang diperuntukkan ialah penjara antara tiga hingga sepuluh tahun manakala denda pula antara RM8, 000 hingga RM20, 000. Terkini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menggesa KementerianPengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelakunya. Ini juga termasuk mendakwa di bawah seksyan 302 atau 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan membunuh dengan niat dan percubaan membunuh.

Kesalahan trafik dan jenayah adalah dua cabang yang berbeza. Justeru, undang-undang yang menaungi kedua-dua bentuk jenayah ini juga semestinya berlainan dari aspek beban pembuktian dan prosedur. Kanun Keseksaan umpamanya, menguatkuasakan undang-undang yang berbentuk menghukum (punitive and retributive) dan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pesalah dan masyarakat secara amnya. Dalam kes jenayah, niat perlu dibuktikan manakala dalam jenayah trafik niat tidak perlu dibuktikan kerana ia bersifat “strict liability”. Akta 333 iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula lebih bersifat mengenakan denda (monetary in nature) atau hukuman penjara.

Untuk kes-kes yang sudah berlaku sehingga ke hari ini, pesalah tidak dapat disabitkan di bawah seksyen tertentu dalam Kanun Keseksaan, khususnya seksyen 302. Selagi mana tidak ada pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan dan Kanun Keseksaan, pesalah hanya dapat didakwa di bawah Seksyen 44 dan 45 Akta 333. Seksyen 302 memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan membunuh dengan niat. Seksyen 307 pula memperuntukkan hukuman untuk percubaan membunuh. Dalam kes jenayah, niat harus dibuktikan. Dalam kedua-dua seksyen ini, pelakunya mempunyai niat untuk membunuh sedangkan dalam kesalahan trafik kecuaian yang menyebabkan pemandu memandu sehingga menyebabkan kematian. Ini adalah dua perkara yang berbeza.

Apakah solusi yang dilihat praktikal ketika ini? Pertama, memasukkan peruntukan baru dalam Akta Pengangkutan Jalan; memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian. Sekiranya hukuman sedia ada tidak mampu untuk mengekang peningkatan kes-kes sebegini, maka hukuman yang bersifat mandatori yakni denda maksimum dan penjara harus berjalan serentak. Ketika ini, hukuman adalah bersifat pilihan. Hukuman penjara boleh menimbulkan kegerunan berbanding denda yang selalunya boleh diusahakan oleh pesalah. Lesen memandu wajar digantung untuk jangka masa yang lebih lama.

Selain itu, kandungan alkohol dalam darah yang ditetapkan dalam Akta 333 perlu selari dengan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Umur pembeli minuman beralkohol wajar dinaikkan semula. Kedai menjual minuman beralkohol perlu mengehadkan penjualannya sehingga waktu tertentu. Pemanduan bebas alkohol semestinya matlamat akhir kita namun buat masa ini langkah-langkah mengurangkan kes di bawah seksyen 44 dan 45 adalah sasaran terdekat kita. Pendekatan untuk menangani isu ini perlu dilihat secara holistik, bukan secara emosi. Pindaan undang-undang semestinya langkah terbaik selain melihat aspek menjaga kebajikan keluarga mangsa melalui tuntutan sivil.

Dr. Shamshina Mohamad Hanifa
Pensyarah undang-undang Jenayah
Jabatan Undang-undang Sivil
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)