Air Sungai Subang di Shah Alam bertukar warna hijau akibat pembuangan sisa dari sebuah kilang kacang. - Gambar FB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang kacang di kawasan perindustrian Shah Alam diarah tutup berkuatkuasa serta merta kerana dikesan melakukan pencemaran sungai sehingga air bertukar warna hijau.

Jurucakap Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberitahu, sebaik menerima aduan penduduk sekitar, sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah menyerbu kilang kacang itu.

Katanya, serbuan dibuat setelah mendapat aduan daripada penduduk yang mendapati sungai berhampiran kawasan kediaman mereka bertukar kepada warna hijau.

“Pasukan penguatkuasa JAS Selangor melakukan siasatan segera dan telah menyusuri kesan pencemaran sehingga ke hulu sungai. JAS telah berjaya menemui punca yang menyebabkan pencemaran berkenaan berlaku.

“Susulan pemeriksaan lanjut di kilang tersebut, JAS telah menemui tiga tong besar dijadikan tempat simpanan air sisa (efluen) daripada proses merendam kacang yang menggunakan pewarna hijau.

“Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) yang dipasang di kilang itu tidak lagi beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pemilik kilang menyimpan air sisa (efluen) dalam tong dan membuangnya ke longkang premis sehingga mengalir ke Sungai Subang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jurucakap itu menyatakan, sampel air sisa efluen dan enapcemar telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi buangan.

Serentak itu, katanya, semua peralatan proses iaitu 20 tangki merendam kacang, tiga tangki simpanan air sisa dan SPEP telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Seksyen itu digunakan bagi menghentikan operasi kilang dan pencemaran serta merta sehingga siasatan kes selesai.

“JAS Selangor akan menyiapkan kertas siasatan bagi mendakwa premis di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 [PPKAS (EP), 2009] dan seksyen lain yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Pihak yang disabitkan kesalahan di bawah PPKAS (EP) 2009 boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kata jurucakap itu lagi, kementerian memberi penghargaan kepada pengadu kerana telah bersama dengan kerajaan dalam usaha menangani pencemaran dengan membuat laporan awal.

KASA juga memohon kerjasama orang awam untuk terus melaporkan sebarang aktiviti pencemaran melalui talian aduan Whatsapp atau telefon 019-9863247; talian bebas tol 1-800-88-2727; e-mel ke [email protected] atau [email protected] dan portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast