Universiti Limkokwing kini telah mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan di kalangan belia di seluruh Malaysia.

CYBERJAYA – Universiti Limkokwing kini berjaya meletakkan nama universiti itu di peringkat antarabangsa apabila mendapat pengiktirafan dari 165 buah negara dengan kapasiti 9,000 pelajar antarabangsa yang sedang mengkuti pengajian di universiti itu.

Pengasas dan Presidennya, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing berkata, pengiktirafan itu membuktikan kenyataan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menyatakan lebih lima juta pelajar dijangka menyambung pengajian di luar negara bagi melanjutkan pendidikan tinggi diseluruh dunia menjelang tahun 2025.

Daripada jumlah itu jelas beliau, kira-kira 53 peratus berasal dari Asia, sebanyak 25 peratus dari Eropah manakala lapan peratus dari negara-negara Afrika.

“Saya percaya ini adalah masa sesuai bagi Malaysia dan Universiti Limkokwing untuk mempromosi pendidikan tinggi bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menjelang 2025.

“Namun semua itu bergantung kepada usaha dan peranan antarabangsa dan Malaysia dalam membendung penularan wabak Covid-19. Malaysia sudah pasti menjadi destinasi pendidikan yang sangat menarik untuk pelajar antarabangsa apabila negara ini berjaya menangani wabak Covid-19.

“Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memuji kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Saya percaya ada ruang untuk mengembalikan keyakinan orang luar kepada Malaysia. Saya yakin Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang lebih mesra pelajar dan membuktikan kerajaan pimpinan kita pada hari ini lebih telus dan dinamik dalam memperkasakan pendidikan tinggi negara selepas ini.

“Jangkaan saya, semakin ramai pelajar antarabangsa bakal memilih Malaysia untuk menyambung pelajaran, semakin berpeluang rakyat Malaysia meluaskan perspektif, mempelajari budaya baharu dan lebih mengenali rakyat negara lain.

“Malaysia juga menyasarkan pengantarabangsaan pelajar sebagai salah satu usaha penjanaan pendapatan dalam ekonomi dengan kemasukan pelajar asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Universiti Limkokwing memiliki 9,000 pelajar antarabangsanya yang sedang mengkuti pengajian di universiti itu.

Jelas Kok Wing, usaha yang dimainkan oleh Malaysia dalam peringkat fasa pemulihan membendung Covid-19 sehingga hari ini harus dipuji untuk membawa kepada pengalaman menangani wabak itu dan Malaysia perlu berkongsi kejayaan kepada dunia luar pada masa depan terutama kepada pelajar antarabangsa.

“Kita harus mengembalikan kepercayaan, Mereka atau pelajar antarabangsa ini datang ke ini dengan harapan untuk menimba ilmu dan berkongsing pengalaman berharga tentang Malaysia. Mereka melihat usaha Malaysia untuk bebas daripada wabak Covid-19 antara yang terbaik dan cemerlang di dunia. Itulah pengalaman terbaik Malaysia.

“Oleh itu, kita perlu membantu orang luar seperti pelabur dari seluruh dunia dengan mengembalikan kepercayaan mereka dengan sikap terbuka serta minda yang mampu sesuaikan diri dengan evolusi kemudahan kesihatan dan perkhidmatan yang terbaik di negara ini. Malaysia mempunyai semua kemudahan kesihatan terbaik untuk melonjak sebagai salah satu tarikan hab pendidikan global.

“Mengembalikan kepercayaan Malaysia sebagai hab pendidikan global perlu dilaksanakan dengan sistematik walaupun berdepan dengan kesan pandemik Covid-19. Empat aspek utama perlu dilaksanakan iaitu governan dan sistem pengurusan, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta pengantarabangsaan dan perancangan pemulihan yang seiring dengan impak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Kok Wing menjelaskan dalam Forum Ekonomi Dunia turut mengiktiraf peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan lebih baik dalam bidang pendidikan dari 141 buah negara di seluruh dunia sejak tahun 2018.

Berdasarkan laporan itu, Malaysia menduduki tangga ke-19 lebih baik daripada negara maju seperti United Kingdom (UK) di tangga 20, Perancis (26), dan Jepun (31).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, kualiti pendidikan Malaysia, berada di tangga kedua selepas Singapura (1), Indonesia (3), Thailand (4), dan Vietnam (5). Ini meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kompetatif dan progresif. Malaysia juga merupakan negara pilihan dalam kalangan negara Arab dan Asia Ocenia untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Jelas Kok Wing, penekanan lebih meluas dalam pembangunan sektor pendidikan misalnya turut menjadikan Malaysia setanding dengan Singapura bagi rantau Asia Tenggara, turut menjadikan sistem pendidikan Malaysia adalah setanding Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

Universiti Limkokwing turut mempunyai kampus di Lesotho, Afrika sejak 2008

Jelasnya lagi, untuk meletakkan Malaysia standing di peringkat antarabangsa, Universiti Limkokwing turut membantu kerajaan memainkan peranan besar dalam membantu mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia di seluruh dunia termasuk di Afrika.

“Kami mempunyai kampus di Lesotho, Afrika sejak 2008. Setelah lebih 10 tahun bertapak di Afrika, Universiti Limkokwing turut mempunyai rangkaian kampus di Bostwana, Eswatini dan Sierra Leone.

“Peluang membuka kampus di benua Afrika itu menjadi kenyataan melalui inisiatif kejayaan penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada tahun 1995.

“Semasa dialog pertama itu, ramai pemimpin-pemimpian Afrika ke persidangan tersebut. Pada masa itulah, saya bertemu dengan ramai pemimpin Afrika dan Universiti Limkokwing dipelawa untuk membuka kampus di sana. Kami mendambakan penganjuran majlis dialog seperti LID untuk diadakan kembali,” katanya sambil melahirkan minat dan sokongan untuk Malaysia menjadi tuan rumah dialog antarabangsa.

Sejak tahun 2008, kampus Universiti Limkokwing di Afrika telah melahirkan lebih 20,000 orang siswazah.

Untuk perancangan masa depan, Limkokwing bersedia untuk membuka kampus di Namibia, Uganda, Nigeria, Rwanda dan Afrika Selatan.

Dalam usaha memperkasakan pendidikan dunia, Kok Wing berkata, antara kejayaan universiti itu apabila berjaya mentranformasikan Afrika melalui pendidikan.

“Universiti Limkokwing terus membawa dimensi gaya baharu pendidikan kepada negara-negara di Afrika hasil kerjasama Malaysia yang terjalin dengan Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang banyak meyaksikan kemajuan budaya dan teknologi pendidikan Afrika.

“Penubuhan Universiti Limkokwing di Afrika merupakan langkah radikal tetapi proaktif demi untuk mempelbagaikan pendidikan tertiari negara itu. Langkah berkenaan sekali gus membantu Afrika untuk menerima ledakan revolusi perindustrian keempat (RI4.0) selain mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Melalui penempatan pelajar Limkokwing ke dalam industri dan ekonomi dunia menyaksikan negara Afrika menuju ke arah kepelbagaian yang lebih mantap, dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup abad ke-21 dan pengenalan kemahiran asing dalam ekonomi negara serta pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang berdaya,” jelas Kok Wing. – MalaysiaGazette