Mahathir Anwar
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DAKWAAN Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai sokongan 129 ahli parlimen adalah satu dakwaan berat di mana jika ia benar, ia bermakna terdapat ada 21 ‘pengkhianat’ yang telah bersumpah palsu di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini telah memperoleh sokongan majoriti seramai 114 daripada 222 ahli parlimen sebelum ini dan sudah bersumpah di hadapan YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri.

Pengesahan itu telah pun dititahkan oleh YDPA ketika membuka sidang Parlimen pada 18 Mei lalu di mana Seri Paduka mengakui dan mengesahkan telah menyoal setiap seorang demi seorang 222 ahli parlimen bagi mendapatkan pengesahan daripada setiap mereka bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Penteri kerana mendapat sokongan majoriti mudah.

Bagaimanapun menerusi dakwaan sumber Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini seolah-olah terdapat 21 ahli parlimen yang bersumpah di hadapan YDPA sebelum ini sudah belot dan bersumpah palsu.

Bersumpah palsu atau memberi maklumat palsu boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini.

Sehubungan itu, PH sewajarnya mendedahkan identiti ahli parlimen yang sudah belot berkenaan bukan sekadar ‘lontar batu sembunyi tangan.’

Rakyat perlu tahu siapakah wakil rakyat mereka yang belot, khianat kepada negara dan YDPA ini malah dengan hukuman penjara dua tahun kelayakan ahli parlimen mereka gugur secara automatik dan mereka tidak boleh bertanding selama lima tahun.

Terdahulu, blogger PH, Shahbudin Husin, melalui Facebook mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan menggantikan PH.

Berdasarkan dakwaan terbabit, PH kini mempunyai sokongan 129 Ahli Parlimen dan mereka akan memohon untuk mengadap YDPA dalam masa terdekat.

Jika ini adalah berita palsu mohon polis mengesahkan ia adalah berita palsu dan mohon polis mendakwa Shahbudin.

Jika ini bukanlah berita palsu mohon polis menangkap 21 orang ahli parlimen yang telah memberi maklumat palsu dan telah membuat akuan sumpah palsu terhadap YDPA.

Jika ini adalah hasutan dan fitnah mohon juga polis menangkap Mahathir dan Anwar sebagaimana yang dinyatakan.

Walau apa pun keadaannya sudah pasti ada pihak yang bersalah melanggar undang-undang dan mohon polis mengambil tindakan segera bukan pilih bulu.

Sebelum ini polis dilihat terlalu tegas mengambil tindakan walaupun berita yang didakwa palsu itu adalah benar.

Fakta nombor
————

222 Ahli Parlimen
114 sokong Muhyiddin
108 tidak sokong Muhyiddin

Dengan kenyataan baru
93 sokong Muhyiddin
129 sokong Anwar /Mahathir
Bermakna 129-93 = 36 orang telah belot dan menyokong Anwar/Mahathir

Ketika pengesahan YDPA
114 sokong Muhyidin
108 tidak sokong

Apabila didakwa 129 tidak sokong Muhyidin dan sokong Anwar/Mahathir dan bermakna Anwar/Mahathir telah mendapat sebanyak 21 sokongan.

Maka 21 orang MP inilah yang perlu membuat akuan sumpah dan memberi maklumat mengesahkan mereka sokong Muhyiddin kepada YDPA. Sekarang ini didakwa 21 ahli parlimen yang telah tidak menyokong Muhyiddin.

Jelas 21 MP berkenaan telah membuat dua kesalahan utama iaitu membuat akuan sumpah dan memberi maklumat palsu kepada kerajaan (YDPA adalah ketua pemerintah nombor satu kerajaan).- MalaysiaGazette

WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS merupakan bekas wartawan Berita Harian dan penganalisis politik bebas.

2 Komen

  1. Kalau nak khinat lagi baik bubar je parlimen. Tau lah rakyat nak pilih siapa. Yang jelasnya ph akan lenyap selamanya.

  2. mahadir banyak buat onar dalam negara. cukup2 lah atok. duduk lah diam2 bersama anak cucu dirumah

Comments are closed.