KUALA LUMPUR – Lima buah Universiti Penyelidikan Malaysia berada dalam kelompok 200 terbaik dunia dan Top 1% in the World yang dikeluarkan oleh Quacquarell Symonds (QS) World University Rankings 2021 pada hari ini.

Univeristi-universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kementerian Pengajian Tinggi berkata, UM sekali lagi disenaraikan sebagai 100 universiti terbaik dunia apabila berada di tempat ke-59 dalam senarai universiti terbaik dunia berbanding kedudukan ke-70 pada tahun lalu.

UM berada dalam senarai kedudukan 100 universiti terbaik sejak tahun 2018, tujuh tahun lebih awal dari sasaran dan berjaya mengekal serta meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga hari ini.

Lima Universiti Awam dan tiga Universiti Swasta juga mencapai peningkatan membanggakan ke kedudukan 550 terbaik dunia.

UPM pada kedudukan ke-132 (2020:159); UKM ke-141 (2020:160), USM ke-142 (2020:165); UTM ke-187 (2020: 217) dan Universiti Utara Malaysia ke-531-540 (2020:591-600).

Manakala Taylor’s University pula mendahului kedudukan ke-378 (2020:511-520), UCSI University ke-391(2020:442) dan Universiti Teknologi Petronas ke-439 (2020:482).

Kementerian itu, pada penarafan kali ini, sebanyak 20 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu 12 universiti berjaya membaiki kedudukan berbanding tahun lalu.

Sebanyak 6 universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh daripada kedudukan tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi institusi pengajian tinggi tempatan (awam dan swasta) berjaya disenaraikan dalam ‘Top 1000’ QS World University Rankings 2021.

Universiti berkenaan ialah Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasionak, Universiti Malaysia Pahang, Multimedia University, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Sabah.

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan hala tuju pendidikan tinggi negara berada di atas landasan yang betul dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti dan cemerlang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

”Kejayaan ini secara tidak langsung terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini,” kata Kementerian Pengajian Tinggi. – MalaysiaGazette