KUALA LUMPUR – Perodua akan menurunkan harga kesemua modelnya (harga atas jalan tanpa insurans) antara 3% hingga 6% melalui rebat tunai sehingga 14 Jun 2020 dan akan mengekalkan harga baharu ini di sepanjang tempoh pengurangan cukai seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3% hingga 6% bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Langkah ini membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua.

Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis Covid-19 yang sedang melanda negara.

Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50% bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

Zainal berkata, pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif –
bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar.

Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, Perodua optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding jualan keseluruhan industri yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini.

Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan. – MalaysiaGazette