SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi penahanan empat orang pengarah syarikat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua pengarah terbabit ditahan dalam satu operasi yang dinamakan ‘Ops RBD petang’.

Katanya, mereka terbabit menyeleweng berhubung kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Keempat-empat yang ditahan berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan sekitar Selangor dan Putrajaya lewat petang semalam.

“Isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi ini merupakan isu ketirisan yang mengakibatkan kerajan kerugian ratusan juta ringgit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Khusairi, berdasarkan perkiraan kasar SPRM, sindiket itu telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi sebanyak RM21.6 juta sejak beroperasi tiga tahun.

Ujarnya, terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket terbabit.

SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta, katanya.

Kata Ahmad Khusairi lagi, berdasarkan semakan dengan pihak KPDNHEP, sindiket itu telah diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan.

“Sepatutnya, syarikat-syarikat ini perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan 1 kilo dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

“Apa yang berlaku, minyak masak bersubsidi ini tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport keluar negara.

Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya

“Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan bekalan minyak masak amat berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil,” katanya.

Tambah beliau, selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, syarikat-syarikat terbabit turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang kononnya dibuat oleh mereka.

Kesannya dalam tempoh tiga tahun sahaja, sebanyak RM21.6 juta dituntut dan diselewengkan.

Kempat-empat suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan dibuat atas kesalahan di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak leibih dari 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan. – MalaysiaGazette