operasi tadika swasta dibiayai sepenuhnya yuran bulanan sedangkan semakin ramai ibu bapa tidak lagi membayar yuran kerana anak tidak dihantar belajar.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Beribu-ribu guru pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan berikutan kebanyakan tadika swasta tidak mampu lagi bertahan tanpa beroperasi semula dalam tempoh terdekat.

Ketidakpastian tarikh sebenar kira-kira 10,000 tadika swasta berdaftar di seluruh negara dibenarkan beroperasi semula oleh Kementerian Pendidikan menyebabkan pengusaha terbabit terus terhimpit dengan beban kewangan dan diancam gulung tikar.

Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM), Chahaya Abdul Manan berkata, operasi tadika swasta dibiayai sepenuhnya yuran bulanan sedangkan semakin ramai ibu bapa tidak lagi membayar yuran kerana anak tidak dihantar belajar.

Beliau berkata, walaupun pengusaha tadika mengadakan kelas pembelajaran secara dalam talian dari rumah, penyertaan murid semakin merosot terutama selepas ibu bapa kembali bekerja manakala anak-anak dihantar ke pengasuh sejak awal Mei lalu.

“Walaupun ada guru tadika mendapat bantuan Program Subsidi Upah (PSU), banyak kos lain masih perlu ditampung terutama sewa bangunan, utiliti dan sara hidup pengusaha,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin baru-baru ini yang pelajar tingkatan 5 dan 6 serta pelajar yang mengambil peperiksaan utama atau setaraf sahaja akan kembali bersekolah bermula 24 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Chahaya yang juga aktivis membaca awal usia berkata, rata-rata pengusaha tadika adalah dari golongan M40 yang bergantung sepenuhnya kepada tadika untuk sara hidup keluarga manakala guru tadika terdiri daripada golongan B40.

“Apabila pengusaha tadika gulung tikar, guru tadika akan hilang pekerjaan. Seterusnya, anak-anak tidak dapat disediakan dengan kemahiran asas seperti membaca sebelum masuk ke sekolah rendah.

“Ibu bapa juga kehilangan tempat jagaan anak kerana kebanyakan tadika juga dipakejkan sebagai pusat jagaan harian,” katanya mendedahkan sudah banyak tadika mengecilkan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak mampu menampung kos terutama sewa bangunan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan perlu menimbangkan pembukaan semula operasi secepat mungkin bagi mengelakkan rantaian tindak balas kesan penutupan tadika swasta yang selama ini menjadi penghubung dan sistem sokongan industri pendidikan negara.

“Pengusaha tadika di seluruh negara bersedia untuk mematuhi SOP ditetapkan kementerian asalkan dapat beroperasi semula secepat mungkin.

“Malah, sebenarnya penjagaan anak di tadika adalah jauh lebih mudah berbanding jagaan di taska kerana faktor komunikasi dan murid lebih patuh dan senang dikawal,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast