KUALA LUMPUR – Kaedah pengiraan prorata yang digunakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk mengira bil pengguna bagi bulan Mac, April dan Mei menjadikan jumlahnya lebih rendah dan berpatutan berbanding kaedah tanpa prorata.

Jelasnya, kaedah berkenaan diguna pakai bagi memastikan pelanggan tidak dikenakan caj berlebihan.

Proses pengiraan bil secara prorata telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga dan merupakan kaedah yang digunakan di seluruh dunia, kata syarikat utiliti itu.

“Operasi membaca meter dan penyerahan bil fizikal dihentikan sementara waktu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu bagi melindungi pekerja dan pelanggan.

“Bagi bulan Mac dan April, bil anggaran telah dikeluarkan kepada pengguna.

“Mulai 15 Mei, operasi membaca meter telah disambung semula.

“Bil sebenar dikeluarkan berdasarkan penggunaan sebenar elektrik bagi bulan sebelumnya iaitu Mac hingga Mei.

“Bil sebenar mungkin lebih tinggi daripada bil anggaran memandangkan anda duduk di rumah sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Berikut adalah contoh pengiraan bil elektrik menggunakan kaedah prorata bagi memudahkan pengguna untuk faham:

Anda menerima bil elektrik pada 21 Mei 2020 yang mempamerkan penggunaan sebenar elektrik berjumlah 950kw.

Andaikan bil bulan Mac dan April adalah bil anggaran dan tempoh keseluruhan bagi bil Mac, April dan Mei adalah 91 hari.

Maka, jumlah keseluruhan tempoh bil selama 91 hari itu dibahagi dengan 30 hari dan menghasilkan faktor prorata.

3.0333 (91/30=3.03).

Terdapat lima blok tarif dikenakan bergantung kepada penggunaan elektrik.- MalaysiaGazette