Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah prorata oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilihat menjadi punca berlaku salah faham terhadap bil elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat, TNB perlu menggunakan istilah yang mudah difahami bagi mengelakkan  timbulnya persepsi negatif bersabit kaedah pengiraan penggunaan elektrik.

“Berdasarkan penjelasan daripada TNB peningkatan bil berlaku disebabkan trend penggunaan elektrik yang sememangnya meningkat kerana keberadaan di rumah sepanjang masa ketika PKP berlangsung. Salah faham ini kemungkinan berlaku disebabkan penggunaan istilah korporat yang digunakan iaitu kaedah bacaan prorata sehingga sukar difahami kebanyakan pihak,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas CUEPACS mengadakan pertemuan dengan TNB bagi membincangkan isu peningkatan bil elektrik yang disuarakan rakyat termasuk kakitangan kerajaan.

Turut hadir ketika pertemuan adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Noor Afifah Abdul Razak.

Menerusi perbincangan tersebut, CUEPACS mendapati kaedah prorata yang digunakan bukan penyebab peningkatan bil sebaliknya beliau keberadaan rakyat di rumah beberapa bulan ketika pelaksanaan PKP adalah faktor menyumbang kenaikan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu CUEPACS berharap agar kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat mempertimbangkan semula pemberian potongan harga kepada pengguna yang berhadapan dengan bil elektrik yang tinggi sepanjang PKP.

Jelas Adnan, selain daripada kaedah bayaran ansuran selama tiga bulan dilihat berkesan meringankan beban rakyat yang kini berhadapan dengan kesusahan akibat terjejas dengan pandemik Covid-19 selepas kerajaan mewartawakan PKP beberapa bulan.

“TNB memaklumkan akan memberikan komitmen sebaiknya bagi menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh pengguna dengan sewajarnya. CUEPACS juga berterima kasih atas keprihatinan TNB yang menyediakan Pelan Bayaran Mudah secara automatik sehingga 31 Disember 2020 kepada pengguna yang mempunyai masalah. CUEPACS berharap inisiatif ini dapat memberi kelegaan kepada rakyat dan dapat dipanjangkan lagi ke satu tempoh masa sekiranya mendapati ada keperluan untuk diberikan kepada pengguna.

“CUEPACS berpandangan pemberian diskaun perlu dinilai semula supaya inisiatif tersebut dapat membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan ketika ini. CUEPACS menghargai pemberian diskaun yang telah diberikan ketika ini (RM279 Juta setakat 5 Jun 2020) tetapi berpandangan perlu dinilai semula terutama bagi mereka yang mempunyai jumlah penggunaan elektrik yang tinggi disebabkan pelaksanaan PKP. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan meringankan sedikit bebanan yang dihadapi rakyat,” tambah beliau.

CUEPACS turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah dengan bil elektrik masing-masing dinasihatkan untuk berjumpa dengan wakil TNB untuk mendapatkan penjelasan.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sepatutnya semasa PKP, TNB aeharusnya menghantar bil anggaran kepada pengguna secara pos, sebagaimana bil air yang dihantar secara pos.

  2. Ceh. P jumpa tak da isi, last2 sokong TNB. Prorata tu patutnya takda layer charges, satu kadar setiap bulan. Bru betul prorata. Ni hampa kumpul 3 bulan punya KwH pastu caj dlm satu bulan ikut 3~4 tier tariff. Ini nama dia CUMULATIVE billing, apa benda prorata nya. Patutnya ambik rate median dan bru darab KwH, ni nama dia prorate. Bodo

Comments are closed.