Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasangan-pasangan yang berhasrat mahu menjalankan pendaftaran perkahwinan di rumah ibadat diminta merujuk senarai yang diluluskan.

Sekiranya rumah ibadat yang dipilih masih belum menerima kelulusan untuk beroperasi, proses pendaftaran perkahwinan ini adalah tertakluk kepada garis panduan terkini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah menerima kelulusan Majlis Keselamatan Negara.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, buat masa ini, jumlah rumah ibadat yang diluluskan masih sama dan pihak kementerian sedang meneliti permohonan yang telah diterima daripada beberapa rumah ibadat lain yang memohon untuk memulakan operasi.

Permohonan-permohonan ini akan di bawa oleh pihak kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan dan pihak JPN juga perlu merujuk kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi mendapatkan senarai terkini rumah ibadat yang telah diluluskan untuk beroperasi termasuk operasi upacara pendaftaran perkahwinan.

”Kementerian juga ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk kepada garis panduan terkini untuk maklumat pergerakan berkaitan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengikut garis panduan kementerian yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 10 Jun lalu, pelaksanaan urusan perkahwinan di kuil, gereja, badan atau persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai 2020.

Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan baru-baru ini bahawa JPN telah membenarkan pendaftaran perkahwinan diadakan di 171 rumah ibadah yang diluluskan oleh kementerian ini untuk beroperasi. – MalaysiaGazette