Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan larangan untuk calon 18 tahun bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini tidak lama lagi.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan kenyataan terbaru SPR sebagai mengelirukan rakyat apabila menyatakan calon berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan menjadi calon.

Dominic mendakwa kenyataan tersebut bertentangan dengan kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizansebelum ini yang mengesahkan bahawa pelaksanaan perubahan had umur daripada 21 tahun kepada 18 tahun melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 telah mula dikuatkuasakan dalam PRK Tanjung Piai tahun lalu.

“Tetapi berbeza pula untuk piliharan raya kecil Chini kali ini. SPR mengeluarkan kenyataan yang bercanggah atas pindaan tersebut.

”SPR tidak sepatutnya berbuat demikian. Manakala sebarang perubahan berkaitan undang-undang seharusnya diperjelaskan sebaik-baiknya kepada semua supaya ianya tidak menimbulkan salah faham kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Pendaftaran pengundi 18 tahun belum dilaksana – SPR

TERKINI : “Pengundi 18 Tahun Belum Boleh Mengundi Lagi” PRK Tanjung Piai – Pengerusi SPR

Perkembangan terkini ini tambah Dominic, seolah-olah SPR menerima campur tangan politik.

“Gerakan berharap SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana campur tangan politik kerana penguatkuasaan undang-undang itu termaktub dalam Perlembagaan.

“Juga berharap, penurunan had umur ini dapat memulihkan perkembangan politik dan ekonomi negara secara sihat,” katanya lagi.

12 Jun lalu, Azhar mengesahkan larangan mana-mana individu berusia 18 tahun menjadi calon pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai nanti.

Ia susulan daripada pewartaan undang-undang membenarkan individu berusia 18 tahun untuk menjadi calon pilihan raya tertakluk di peringkat kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette