Rakyat Malaysia diingatkan tidak melanggar SOP Kesihatan Awam melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan betul. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tahap Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Awam melibatkan penjarakan fizikal dan sosial yang diwajibkan menjelang pembukaan sekolah untuk pelajar tingkatan lima dan menengah enam atas akan diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan ditambah baik berdasarkan hasil pelaksanaan yang akan diperoleh selepas sesi sekolah bermula 24 Jun ini.

“Kami akan melihat perkembangan trend kes harian Covid-19 yang kini sangat rendah dengan satu angka melibatkan warga tempatan sejak dua minggu lalu.

“Keduanya, kami akan memastikan sekolah mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal apabila pelajar Tingkatan Lima dan Enam atas mulakan pembelajaran nanti dan berdasarkan tahap pematuhan pelajar di sekolah kita akan menambah baik dan memperbaiki SOP dari semasa ke semasa.

“Setakat ini tahap kesiapsiagaan SOP yang disyorkan KKM kepada sekolah menjelang pembukaan 24 Jun ini khususnya di bilik darjah, kantin sekolah, tandas serta asrama sekolah sangat memuaskan dan perlu lihat tahap pematuhan pelajar semasa sesi pembelajaran nanti,’ ujarnya dalam sidang media Covid-19 harian di sini hari ini.

Ditanya mengenai kebanyakan kes tidak bergejala dan apakah nasihat KKM untuk mewajibkan pelajar dan kakitangan guru sekolah memakai pelitup muka, beliau berkata, mereka yang hanya mempunyai simptom sahaja digalakkan memakainya.

“Kami akan melihat pelaksanaan menyeluruh SOP ini kerana kami sedar pelajar kebiasaannya akan berkumpul hanya pada waktu rehat di kantin sekolah maka kami dengan SOP nanti tidak membenarkan mereka makan di kantin,sebaliknya ambil makanan dan kembali ke bilik darjah dan menjamu disana.

“Kita juga akan menekankan penjarakan sosial dan jika mereka patuh maka kita boleh kurangkan risiko jangkitan lebih 65 peratus hingga 70 peratus dalam kalangan pelajar sekolah kecuali mereka yang ada simptom batuk dan kahak perlu pakai pelitup.

“Oleh kerana banyak sektor dibuka secara berperingkat termasuk sektor pendidikan, kita akan lihat kes sebenar sama da meningkat atau turun setiap hari dan semak imbang antara kehidupan dan sara hidup dan akan ditambah baik setiap masa berdasarkan hasil pelaksanaan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast