Gambar hiasan.

ROM – AstraZeneca Plc telah menandatangani kontrak dengan kerajaan-kerajaan Eropah untuk membekalkan potensi vaksin Covid-19.

Ia merupakan perjanjian tertinggi AstraZeneca Plc dalam menangani pandemik koronavirus.

Kontrak itu adalah untuk 400 juta dos vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford.

AstraZeneca Plc berkata, ia sedang meneroka peluang untuk meluaskan pembuatan vaksin, yang mana ia memaklumkan tidak membuat keuntungan semasa pandemik.

Penghantaran vaksin akan bermula pada akhir tahun ini.

Perjanjian untuk kontrak pertama itu ditandatangani oleh Inclusive Vaccines Alliance (IVA), kumpulan yang dibentuk oleh Perancis, Jerman dan Belanda bagi mendapatkan vaksin berkenaan secepat mungkin.

”Perjanjian ini bagi memastikan berjuta-juta penduduk di Eropah akan mendapat akses kepada vaksin ini. Kesatuan ini akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Eropah dan negara-negara Eropah bagi memastikan semua rakyat merentasi Eropah dibekalkan dengan vaksin ini ,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AstraZeneca Plc, Pascal Soriot.

Menurutnya, AstraZeneca Plc mempunyai rantaian bekalan yang mencukupi untuk Eropah.

Bagaimanapun jumlah perjanjian tidak didedahkan.

AstraZeneca Plc berkata, China, Brazil, Jepun dan Russia juga telah melahirkan minat terhadap vaksin tersebut.

Agensi Pengawalseliaan produk Ubat-ubatan dan Kesihatan Britain (MHRA) telah meluluskan permulaan ujian Fasa III vaksin setelah kajian menunjukkan keberkesanan dan keselamatan yang mencukupi, kata Soriot.

Ia telah bersetuju membuat perjanjian pembuatan secara global untuk memenuhi sasarannya menghasilkan 2 bilion dos vaksin, termasuk dengan dua usaha yang disokong oleh Bill Gates dan perjanjian AS$1.2 bilion dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Perjanjian itu akan menambahkan 100 juta dos lagi kepada 2 bilion yang sudah dilakukan oleh kumpulan itu, kata AstraZeneca.

Setakat ini tidak ada vaksin atau rawatan yang diluluskan untuk Covid-19, penyakit pernafasan yang disebabkan oleh novel koronavirus. – MalaysiaGazette