Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

KUALA LUMPUR – Kenaikan bil elektrik secara mendadak bagi penggunaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tiga bulan lalu yang membebankan rakyat tidak memberi imej yang baik kepada kerajaan.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, ia dikhuatiri boleh mengganggu fokus utama kerajaan untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat penularan Covid-19.

“Situasi ini memberikan imej yang tidak baik kepada Kerajaan Persekutuan yang sedaya upaya memberikan usaha dan tindakan dalam membantu rakyat untuk membasmi wabak pandemik Covid-19.

“Sebagai Kerajaan Persekutuan yang mendepani kepentingan rakyat, tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah menjelaskan punca kenaikan harga bil elektrik sangat dihargai.

“Tetapi tindakan untuk menyalurkan maklumat secara berterusan hendaklah ditingkatkan agar keresahan rakyat ini tidak berpanjangan dan mereka sentiasa memahami situasi yang sedang kita alami hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman dilaporkan meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh PKP berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhan di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, TNB digesa memberi potongan harga kepada bil elektrik yang yang dikenakan kepada pengguna di kediaman bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya mohon agar pihak TNB mempunyai inisiatif dalam usaha memberikan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

“Ini boleh dilakukan dengan memberikan diskaun kepada pengguna domestik yang mampu memberikan kegembiraan berbanding hanya memberikan penjelasan yang sukar diterima oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. hahahhaha.mana yang tak puas hati bawak bill kepada kedai TNB.. Meter tak menipu tapi cara pengiraan boleh mempengaruhi jumlah bil..

Comments are closed.