Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 41 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengahari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,494 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 973 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 41 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 32 kes adalah bukan warganegara manakala enam kes adalah dalam kalangan warganegara,” katanya dalam sidang media perkembangan harian jangkitan semasa Covid-19 hari ini.

Tambah Noor Hisham, hari ini sebanyak 54 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,400 kes (87.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menurutnya, bagi kes jangkitan dalam negara, sebanyak 32 kes dalam kalangan bukan warganegara adalah satu kes saringan tempat kerja oleh majikan iaitu sebuah syarikat mengendalikan pekerja pembersihan di Kuala Lumpur dan 31 kes di Negeri Sembilan.

Katanya, mengikut pecahan di Negeri Sembilan, sebanyak 14 kes di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson di mana
kes-kes adalah merupakan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan ke sana daripada Depot Tahanan Imigresen
(DTI) Bukit Jalil;15 kes Kluster Pedas dan dua kes Kluster Syarikat Pembersihan.

Perincian kes penularan Covid-19 dalam kalangan warganegara Malaysia melibatkan enam orang pula adalah dua kes di Selangor satu kes Acute Respiratory Infection (ARI) di sebuah pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor yang telah dikesan di Hospital Tanjung Karang.

Satu kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8294); dua kes di Melaka iaitu satu kes kontak rapat kepada kes positif (kes 7, 817) dan satu kes saringan sekolah atau madrasah tahfiz.

Di Negeri Sembilan, satu kes saringan madrasah atau sekolah Tahfiz; di Sabah satu kes kontak rapat kepada kes kematian ke-119 (iaitu kes ke-8,403).

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette