James Ratib (kiri) dan Limus Jury

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan meletak semua jawatan dalam parti itu berkuasakuasa serta merta.

ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib berbuat demikian kerana sudah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti terutama Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau selepas keluar Barisan Nasional (BN) untuk bersama Pakatan Harapan (PH).

Limus yang merupakan Naib Presiden UPKO menyatakan, keputusan dibuatnya itu adalah atas kerelaan hatinya, dan menolak ada unsur tekanan atau paksaan dari pihak tertentu.

“Saya, Limus Juri, ADUN Kuala Penyu dan juga Naib Presiden UPKO secara rasmi umum keluar dan letak keahlian serta semua jawatan dalam parti kuatkuasa serta merta.

“Keputusan ini saya buat kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang tidak konsisten dalam perjuangan parti.

“Buat masa ini, saya adalah wakil rakyat Bebas,” katanya pada sidang media bersama rakannya, James Ratib di Sabah, hari ini.

Dua hari lepas, ADUN Sementa dari PKR, Dr. Daroyah Alwi meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat dan Ketua Wanita Keadilan Selangor, juga berkuatkuasa serta mereka.

Alasannya, beliau dan beberapa barisan kepimpinan Wanita Keadilan Pusat, negeri dan Cabang hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, James Ratib berkata, beliau bersama Limus kini berada di blok Bebas dan tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti, selain menyatakan sokongannya kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, setelah memikirkan secara mendalam dan rasional, jalan terbaik bagi beliau dan Limus ialah meninggalkan parti UPKO demi masa depan rakyat kawasannya.

Sebelum ini UPKO merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi bertindak keluar untuk menyertai PH di peringkat Persekutuan dan parti Warisan di peringkat negeri Sabah.

Bagaimanapun, setelah kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu, kedudukan UPKO dalam PH dan kerajaan Warisan mula goyah, menyebabkan James Ratib dan Limus lompat keluar dari parti itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.